LIMA PELAN TINDAKAN KHAS ‘SUNTIK’ NAFAS BAHARU PEMBANGUNAN KEDAH
Roslinda Hashim
KULIM - Lima kawasan di Kedah bakal menerima manfaat pembangunan lebih terancang menerusi pelaksanaan lima Pelan Tindakan Khas (PTK) yang dirangka bagi menangani isu setempat serta meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui tindakan berfokus dan berimpak segera.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dokumen PTK berkenaan diserahkan kepada agensi pelaksana terlibat supaya setiap perancangan dapat digerakkan segera dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Menurutnya, lima PTK berkenaan melibatkan cadangan peningkatan identiti landskap Terusan Wan Mat Saman di Alor Setar; pembangunan River of Life Sungai Petani dan revitalisasi pekan sehari di pusat bandar Sungai Petani.
Turut diberi perhatian ialah pembangunan pelancongan Mong Gajah, di Pedu serta menaik taraf kemudahan awam Taman Rekreasi Awam Baling dan pembangunan Galeri Pentadbiran Daerah Baling.
“PTK itu dirangka sebagai instrumen tindakan khusus jangka pendek yang memberi tumpuan kepada penyelesaian isu setempat, selain memastikan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
"Saya berharap semua agensi pelaksana yang menerima dokumen PTK ini dapat menggerakkan pelaksanaannya segera dan berkesan agar manfaatnya terus dinikmati rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Kedah 2026 di Taman Tasik Putra, di sini, hari ini.
Menurut Sanusi, pelan peningkatan identiti landskap Terusan Wan Mat Saman akan dilaksanakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), manakala pembangunan River of Life Sungai Petani dan revitalisasi pekan sehari diselaraskan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK).
”Pembangunan pelancongan Mong Gajah pula di bawah tanggungjawab Majlis Daerah Padang Terap (MDPT), sementara kerja menaik taraf Taman Rekreasi Awam Baling dilaksanakan Majlis Daerah Baling (MDB).
”Bagi pembangunan Galeri Pentadbiran Daerah Baling, agensi pelaksananya ialah Pejabat Daerah dan Tanah Baling,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi menyeru seluruh warga PLANMalaysia Kedah, ketua jabatan dan kepimpinan PBT supaya terus berpegang teguh kepada prinsip integriti, kecekapan serta akauntabiliti dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
"Tugas anda melampaui garisan sempadan daerah. Anda sedang mencorakkan masa depan dan kebahagiaan rakyat Kedah untuk generasi akan datang," katanya.
Sanusi turut berkongsi kejayaan 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah berjaya memperoleh pengiktirafan Bandar Mampan menerusi penilaian Sistem Penunjuk Bandar Mampan (MURNInets), pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Kebangsaan, 4 November lalu.
“Pencapaian itu membuktikan komitmen PBT di negeri ini dalam memastikan pembangunan bandar dilaksanakan secara mampan, seimbang dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Lebih membanggakan, Majlis Daerah Sik dan Majlis Daerah Pendang turut merangkul Anugerah Penarafan Bandar Pintar Kategori Perintis, melengkapkan pengiktirafan bandar pintar yang diterima PBT lain di Kedah,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan itu menunjukkan transformasi digital di negeri ini bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar, malah turut berkembang ke kawasan luar bandar.
“Tahniah kepada Datuk Bandar, semua Yang Dipertua PBT dan seluruh warga kerja PBT Kedah,” katanya
Tambah beliau, tema sambutan tahun ini, 'Bandar Kita, Masa Depan Kita: Ke Arah Pembangunan Lestari Nikmat Untuk Semua' memberi penegasan bahawa kemakmuran negeri, keselesaan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar perlu dinikmati secara adil serta inklusif oleh setiap lapisan rakyat.
“Frasa ‘Nikmat untuk Semua’ membawa mesej yang sangat jelas, dan dekat dengan denyut nadi pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.
Post a Comment