Header Ads

test

KEDAH SASAR HASIL RM1 BILION MENJELANG 2030

 

“BERDASARKAN PRESTASI EKONOMI MEMBERANGSANGKAN”
Roslinda Hashim
KULIM - Kerajaan Negeri Kedah menyasarkan kutipan hasil negeri mencecah RM1 bilion menjelang 2030 susulan pencapaian memberangsangkan apabila merekodkan kutipan tertinggi dalam tempoh 25 tahun sebanyak RM816 juta.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pencapaian itu membuktikan kecekapan tatakelola dan pentadbiran berintegriti Kerajaan Negeri meskipun Kedah masih dikategorikan sebagai negeri miskin.
Menurutnya, kutipan hasil negeri sebelum-sebelum ini sekitar RM400 juta dan peningkatan ketara dua kali ganda itu sekali gus memberi keyakinan untuk mencapai sasaran RM1 bilion dalam tempoh empat tahun lagi.
“Dulu hasil Kedah sekitar RM400 juta sahaja. Ada negeri masih mencatatkan hasil sekitar RM200 juta hingga RM300 juta.
“Ini satu pencapaian yang membanggakan kita kerana kita negeri miskin tetapi hasil semakin hari semakin meningkat. Kita mahu sasarkan hasil negeri capai RM1 bilion pada 2030, insya-Allah,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Kedah 2026 di Taman Tasik Putra, di sini hari ini.
Menurut Sanusi, prestasi ekonomi Kedah turut menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM56.3 bilion pada 2025 dengan pertumbuhan 4.1 peratus.
Katanya, pencapaian itu turut didorong lonjakan pelaburan apabila negeri ini merekodkan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM185.94 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025.
“Di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, ekonomi Kedah terus memaparkan prestasi makro yang memberangsangkan.
“Saya syukur dan bangga kerana agenda pembangunan negeri menerusi Pelan Pembangunan Kedah 2035 serta gagasan ‘The Greater Kedah’ kini berada di landasan kukuh dan sedang bergerak maju,” katanya.
Tambah beliau, ini membuktikan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap kestabilan politik, kecekapan pemudahcaraan serta ekosistem perancangan pembangunan negeri.
Antara projek berimpak tinggi yang menyumbang kepada pertumbuhan fizikal Kedah termasuk peluasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP), pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Bukit Kayu Hitam dan Delapan SBEZ, Kedah Rubber City (KRC) serta Kedah Science and Technology Park (KSTP).
Dalam pada itu, Sanusi berkata, pembangunan negeri tidak seharusnya hanya tertumpu di bandar utama atau menguntungkan kelompok tertentu, sebaliknya perlu memastikan seluruh rakyat menikmati persekitaran hidup berkualiti, selamat dan sejahtera.
Katanya, pembangunan yang dirancang juga perlu memberi manfaat kepada semua kelompok masyarakat serta penduduk luar bandar seperti di Sik, Baling, Padang Terap dan Yan.
Beliau turut menegaskan perancang bandar memainkan peranan penting sebagai pemacu ekonomi, arkitek sosial dan benteng kelestarian negeri, khususnya dalam memastikan pembangunan fizikal berjalan seiring dengan keseimbangan alam sekitar.
“Selaras dengan pelancaran Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) di peringkat Persekutuan baru-baru ini, Kerajaan Negeri hargai peranan warga perancang bandar.
“Mereka bertanggungjawab menyediakan kepastian guna tanah menerusi dokumen perancangan seperti Rancangan Struktur Negeri (RSN) Kedah dan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) bagi menyokong kemasukan pelaburan berimpak tinggi,” katanya.
Selain itu, katanya, perancangan pembangunan turut mengambil kira kepentingan keterjaminan makanan dengan mengawal serakan bandar bagi melindungi kawasan jelapang padi dan tanah pertanian produktif, sambil menyediakan zon industri bertaraf dunia.
Katanya, aspek kelestarian turut diberi perhatian melalui penerapan konsep Bandar Rendah Karbon serta penyelesaian berasaskan alam semula jadi dalam pengurusan tebatan banjir dan pemeliharaan kawasan hijau.

Tiada ulasan