Header Ads

test

PEMBANGUNAN KEDAH AEROTROPOLIS PERLU DIBERI PERHATIAN, KERJASAMA PERSEKUTUAN DIPERLUKAN

 

Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang kargo perlu diberi perhatian khusus bagi merancakkan pembangunan serta pertumbuhan ekonomi negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan diharap dapat menunjukkan kematangan dan bertindak adil dalam menangani isu pembangunan yang melibatkan negeri-negeri di bawah pentadbirannya, termasuk projek Kedah Aerotropolis.
Menurutnya, Kerajaan Negeri tidak pernah berputus asa, malah kekal optimis bahawa Kedah Aerotropolis akan menjadi kenyataan dan muncul sebagai pemangkin perubahan ekonomi (economic game changer) yang mampu membentuk iklim ekonomi yang berdaya saing, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Justeru, kerjasama daripada pihak Kerajaan Persekutuan dan swasta perlu dijalin serta diperkukuhkan,” katanya ketika sesi perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Jelasnya, Kerajaan Negeri telah memenuhi enam daripada lapan syarat yang ditetapkan oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara bagi pelaksanaan projek Kedah Aerotropolis, termasuk pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kargo Kulim (KXP).
Katanya, antara syarat yang telah dipenuhi ialah penyediaan tanah seluas 9,800 ekar di Sidam Kiri, perusahaan peringkat negeri serta pelbagai kriteria lain berkaitan perancangan fizikal dan pembangunan wilayah.
Bagaimanapun, dua syarat utama masih belum dipenuhi kerana berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, iaitu berkaitan lesen aerodrom yang memerlukan kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melibatkan ruang udara dan keselamatan ketenteraan.
Syarat kedua pula melibatkan Pelan Strategik Aeroangkasa Negara (NASP) yang memerlukan penilaian dan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan.
Sehubungan itu, Azhar menyeru agar Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Pengangkutan, memberikan pertimbangan sewajarnya dan mengambil tindakan segera bagi memastikan pembangunan negeri serta negara dapat dipacu dengan lebih pantas, sekali gus membawa manfaat kepada rakyat.
Tambahnya, ramai pelabur swasta termasuk dari luar negara yang berminat untuk melabur dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) serta membangunkan industri berkaitan aeroangkasa di zon perindustrian yang dirancang.
Namun, komitmen pelaburan tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan urusan berkaitan lesen aerodrom dan NASP yang masih belum dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan.
“Tindakan ini bukan sahaja boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi, malah berpotensi menyebabkan kerugian kepada negara sekiranya pelabur beralih ke tempat lain,” katanya.

Tiada ulasan