Header Ads

test

KERAJAAN NEGERI SELESAI OPERASI PEMUTIHAN, PULIHKAN KEGUNAAN RUANG AWAM FLAT PAYA NAHU


ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah melaksanakan kerja-kerja pemutihan di kawasan Perumahan Flat Paya Nahu bagi mengesahkan status penghunian dan perjanjian sewaan, selain menangani pendudukan tanpa kebenaran serta memulihkan penggunaan ruang awam yang telah disalahgunakan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, usaha berkenaan bertujuan memastikan rumah sewaan kerajaan diduduki oleh golongan yang layak, kutipan sewa diuruskan secara teratur dan kemudahan bersama dapat digunakan dengan selamat oleh semua penghuni.

“Antara isu dikenal pasti termasuk pendudukan tanpa perjanjian sah, perjanjian transit tamat tempoh, tunggakan sewa serta pembinaan struktur tanpa kebenaran.

“Bagi menangani isu tersebut, program pemutihan data telah dilaksanakan sebanyak lapan kali antara Jun hingga Oktober 2025 dan diteruskan pada 6 hingga 8 September 2026.

“Penghuni tanpa perjanjian dikenal pasti untuk proses penawaran baharu, manakala mereka yang tamat tempoh perjanjian sewaan transit tiga tahun menjalani proses perjanjian semula berdasarkan status dan kelayakan masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Azizan Hamzah (PAS - Bukit Selambau) berkenaan kerja-kerja pemutihan di Kawasan Flat Paya Nahu, Sungai Petani, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Jelasnya, bagi aspek penguatkuasaan, notis telah disampaikan kepada pemilik struktur tanpa kebenaran pada 14 dan 16 Julai 2026, dengan tempoh tujuh atau 30 hari diberikan mengikut jenis binaan untuk mengosongkan serta merobohkan sendiri struktur berkenaan.

“Operasi perobohan dilaksanakan pada 21 Julai melibatkan 12 blok dan 23 Julai 2026 bagi baki 10 blok.

“Antara struktur yang dikenakan tindakan termasuk garaj persendirian, stor separa kekal, gril besi dan gerai penjaja yang dibina di kawasan kemudahan awam,” kata beliau.

Menurut Mansor, kebajikan peniaga turut diberi perhatian apabila Bahagian Perumahan mengenal pasti peniaga yang boleh ditawarkan penempatan di rumah kedai bawah seliaannya serta mengemukakan nama kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) bagi pertimbangan penempatan gerai majlis.

Tambahnya lagi, operasi Tadika KEMAS juga tidak dihalang untuk diteruskan dan premisnya dikecualikan daripada bayaran berdasarkan rekod Sistem KHIS Perumahan.

“Bagi aspek keselamatan, pemeriksaan TNB pada 23 Julai 2026 menemukan beberapa masalah termasuk pendawaian pintasan meter, pendawaian tanpa meter yang tidak selamat serta panel meter yang rosak. Antara penambahbaikan dicadangkan ialah pemasangan gril atau pagar berkunci bagi mengehadkan akses tanpa kebenaran serta pembaikan panel meter dan bumbung berkaitan.

“Sebagai langkah susulan, Kerajaan Negeri mencadangkan pelaksanaan Program Bina Insan pada 2027 untuk penghuni PPR Paya Nahu 1 dan Paya Nahu 2. Program itu merangkumi aktiviti keagamaan, sukan, penerangan isu semasa, kebersihan serta sesi bertemu pelanggan bagi mengenal pasti masalah dan keperluan kebajikan penghuni dengan penglibatan agensi berkaitan,” ujarnya.

Katanya, usaha pemutihan itu bukan sekadar menyelesaikan isu penghunian dan binaan tanpa kebenaran, malah mampu membentuk komuniti yang lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan, memelihara kemudahan awam serta mematuhi syarat perjanjian sewaan, sekali gus mengembalikan imej Paya Nahu sebagai kawasan kediaman yang bersih, selamat dan harmoni.
 

Tiada ulasan