Photos from Urus Setia Penerangan Darul Aman - UPDA's post
MADA PROAKTIF BANTU TINGKAT PENDAPATAN PESAWAH Menteri Besar Kedah, Haji Muhammad Sanusi Md Nor menyokong penuh usaha Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memperkenalkan Program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) bagi meningkatkan pendapatan pesawah dan usaha untuk mengeluarkan pesawah daripada kelompok B40. Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Sesi Libat Urus Menteri Besar Kedah bersama Peladang MADA di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar. "Berdasarkan rekod MADA, sejumlah 8,167.38 hektar tanah pertanian telah diubah syarat untuk tujuan pembangunan dan situasi ini menjadi cabaran kepada negeri Kedah dan MADA selaku jelapang padi utama negara untuk terus konsisten menjadi penyumbang utama pengeluaran padi," ulas Haji Sanusi. Justeru Menteri Besar Kedah mengingatkan langkah segera perlu diambil oleh semua pihak dalam bentuk perundangan dan juga penyelarasan melibatkan kerajaan pusat dan negeri bagi memastikan tanah pertanian ini kekal. Langkah ini juga dapat melenyapkan ancaman kepada food sovereignty (kedaulatan makanan) di Malaysia yang mana menjadikan beras sebagai makanan ruji negara ini. Pelaksanaan Program Penanaman Padi Skala Besar memfokuskan kepada pengusahaan aktiviti perladangan melibihi lima hektar yang melibatkan usahawan padi sedia ada, usahawan padi muda dan pengilibatan PPK serta GLC seperti MADACORP. Program PPSB mensasarkan pendapatan bulanan usahawan padi tidak kurang daripada RM4,000. Haji Sanusi turut melancarkan buku "Hamparan Kejayaan Usahawan Padi 2019-2020 MADA" yang merekodkan bukti kejayaan 155 orang pesawah MADA memperjuangkan industri padi sebagai industri yang mampu memberi pulangan yang lumayan. Tambahnya lagi, kerajaan negeri sentiasa bersedia bekerjasama bagi memastikan permasalahan ini tidak berlarutan dan menjamin kesejahteraan negara dari aspek bekalan makanan negara yang mencukupi. "Kerajaan Negeri Kedah akan menyokong sepenuhnya Pelaksanaan Projek Pemacu Pertanian EPP-10 yang bermatlamat untuk meningkatkan kepadataan infrastruktur di peringkat ladang kepada 30 meter sehektar dengan jumlah peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan sebanyak RM1.542 bilion bagi tempoh pelaksanaan RMK-10 dan RMK-11," ujar Menteri Besar Kedah. Turut hadir, Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Kedah, YB Azman Nasrudin, Pengerusi MADA, YB Ahmad Tarmizi Sulaiman, Pengurus Besar MADA, Dato' Fouzi Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis merangkap Ahli Lembaga Pengarah MADA, Azman Mohd Yusof. 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua' #UrusetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 11/6/2020, 7:00:22 PM
Post a Comment