Header Ads

test

Photos from Urus Setia Penerangan Darul Aman - UPDA's post


CERITA DI SEBALIK BIDAAN VOLVO XC60 ISTIMEWA MB KEDAH UNTUK DERMA TABUNG GAZA PALESTIN "Tang mana ada kedai polish kereta yang bagus. Nak hantar Volvo ni polish bagi menqhelap," tanya MB Kedah kepada kami di 'Dangau' gazebo dalam kawasan kediaman rasmi Sri Mentaloon pagi tadi. "Dah nak lepas kat orang dah boss, nak polish buat apa lagi?" kata saya. "Hat nak bagi kat orang la kita kena buat bagi molek, serah kat orang berkilat. Orang bukan beli sembarangan, dema nak derma untuk Palestin. Kalu dema beli di kedai kereta, tak kena bayar mahal serupa harga bida untuk derma ni," balas MB. "Kalu dan, papan plet pun aku nak tukar, nak buh hat molek, hat ada batu," ujarnya lagi. Saya tidak ada niat pun nak menguji kesungguhan MB nak polish dahulu kereta Volvo XC60 kesayangannya itu yang sehari dua ini hangat jadi topik bualan di mana-mana. Kelmarin, beliau buka bidaan untuk kereta itu yang 100% daripada hasil bidaan tertinggi akan didermakan ke Akaun Tabung Kemanusiaan PASRelief. Orang lain saya tidak tahu tapi kalau saya sendiri, jangankan nak derma 'harta' semahal itu, nak korbankan kos polish kereta RM200 - RM300 itu pun saya fikir banyak kali. Kereta kesayangan pulak tu. Bukti bahawa itu kereta kesayangan, kereta yang paling digemari, tengah hari semalam, MB memandu sendiri kereta itu balik ke kawasan diwakilinya, Jeneri, Sik yang pada jangkaan saya, suatu perjalanan yang cukup sentimental dan hampir pasti adalah yang terakhir bagi mereka untuk 'berdua duaan' sebelum Bolbo itu dilepaskan ke tangan orang lain. "Aku kalau boleh, nak kereta tu dapat pada orang kut belah ni jugak (Kedah). Setidak tidaknya kalau dema duk main kut ni, aku boleh tengok lagi (kereta ini)," beliau memberitahu saya sejurus sebelum berlepas ke Sik tengah hari semalam. Memang nampak dan sesungguhnya saya dapat merasakan, MB masih begitu sayangkan kereta itu. Berbalik pada cerita di 'Dangau' tengah hari tadi, Abang Zul, Ketua Staf Sri Mentaloon beritahu ada beberapa kedai polish kereta yang bagus di sekitar bandar raya Alor Setar dan MB memilih sebuah kedai di Alor Merah. Tidak. Saya bukan nak bodek boss untuk highlight cerita semacam ini. Saya sudah pun jadi pegawai beliau dan tidak ada apa saya nak kejarkan lagi. Kalau dahulu MB sendiri pernah dimarahi oleh Allahyarham Ustaz Azizan kerana mendedahkan kebaikan yang beliau mahu sorok, MB Haji Sanusi ni pun sedikit sebanyak ada juga 'keturun' lagu tu. Jadi saya highlight cerita ini pun dalam berani berani takut saja. Takut dia tak suka... Tapi saya gagahkan juga bercerita sebagai manifestasi kekaguman saya terhadap kebaikan hati dan jiwa seorang pemimpin yang 'walk the talk'. 1. Beliau korbankan sebuah kereta kesayangan yang bernilai puluhan ribu RM yang sejak dibeli, beliau sendiri sudah berhabis puluhan ribu untuk jadikan kereta itu benar benar dalam keadaan tip top. Segala belanja repair dikeluarkan selama ini untuk kereta itu digunakan sendiri. Hanya dalam sehari dua ini timbul hasrat nak jual kereta itu melalui bidaan dan 100% daripada hasil bidaan akan dimasuk terus ke tabung derma Palestin. Beliau akui buat keputusan untuk lepaskan kereta itu kerana tidak tahan tengok berita warga Palestin dibantai dengan begitu kejam oleh Zionis. Beliau sudah dermakan RM10,000 tunai untuk tabung Palestin PAS Kedah tapi masih berasa tak cukup "Nak bagi duit lagi tak mampu dah, bagi kereta ni saja lah," katanya kepada pegawai pegawai pagi tadi. 2. Pihak yang menang bidaan akan keluarkan cek terus atas nama Akaun Tabung Kemanusiaan PASRelief, bukan bayar kepada MB sebagai bukti ketelusan sumbangan. 3. Sudahlah kereta nak dilepaskan, MB sanggup bersusah payah bawak sendiri kereta pergi polish tengah hari tadi untuk pastikan hasilnya seperti yang dikehendaki. Kalau saya, alang alang sudah nak dilepaskan, lantaklah! Itulah beza saya dengan dia. Akhirnya, saya buat kesimpulan sendiri ... apa yang ditunjukkan oleh MB hari ini — kebesaran hati dan jiwa dengan kesediaan untuk berkorban — bukan hasil atau terdidik dalam sehari dua. Sejak 2017, beliau sudah masak bergelumang dengan pelbagai bentuk kerja kemanusiaan daripada lohong tapak gempa bumi, banjir lumpur, mengepalai flotilla bantuan mangsa pembantaian sesama manusia di Arakan, pernah cuba masuk ke Gaza untuk hantar bantuan tapi terkandas di Cairo kerana larangan Pihak berkuasa Mesir. Perdana Menteri Palestin waktu itu, Syeikh Ismail Haniyeh keluar dari Gaza melalui terowong ke Cairo untuk temui beliau dan macam macam lagi kerja kemanusiaan dilakukan dengan bersungguh sungguh. PASrelief, gerakan kerja kemanusiaan PAS adalah daripada air tangannya, menjadi vehicle perjuangan membela mereka yang sengsara, menderita dan tertindas di serata benua. Itulah hasilnya yang telah membenihkan kebesaran jiwa, betapa bernilainya nyawa dan hubungan sesama manusia yang tidak tertanding pun oleh harta benda dan wang ringgit. Selain itu, pesan Rasulullah SAW, apa pun yang hendak diberikan kepada orang, seharusnya yang paling kita sayang dan dalam keadaan terbaik Itulah nilai dan makna pengorbanan! Catatan Setiausaha Akhbar Menteri Besar: Muhamad Mat Yakim 17 May 2021 #UrusetiaPeneranganDarulAman #UPDA #thisismbkedah #MediaMBKedah -UPDA 5/18/2021, 10:19:13 AM 

Tiada ulasan