Header Ads

test

PERMIT PEMBINAAN EKSPRES E10 TARIK PELABUR KE KEDAH


PERMIT PEMBINAAN EKSPRES E10 TARIK PELABUR KE KEDAH

KULIM - Kedah yakin mampu menjadi tumpuan pelabur dengan penyediaan inisiatif permit pembinaan ekspres, E10. Melalui E10, pelabur yang memilih Kulim sebagai destinasi pelaburan akan dibantu untuk mendapatkan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC), lesen perniagaan dan membina kilang dalam tempoh singkat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim dalam ucapan perasmiannya secara atas talian memaklumkan E10 akan menjadi tawaran pakej istimewa kepada pelabur dan mampu memacu potensi Kedah menjadi destinasi utama pelaburan di Malaysia.

 “Saya percaya inisiatif ini bakal menyaksikan Kedah bangkit dari pandemik COVID-19 dengan memudah cara proses kelulusan permit pembinaan dan mempercepatkan pembinaan kilang kepada pelabur berskala besar yang memilih untuk melabur di Kulim. 

"Kalau dahulu masa yang diambil oleh pelabur untuk mendapatkan kelulusan dan siap operasi mungkin mengambil tempoh masa dalam 18 sehingga 24 bulan. Tetapi dengan inisiatif E10 ini, penjimatan masa yang amat ketara kerana sekurang-kurangnya 50 peratus masa telah dapat dijimatkan dan siap dalam tempoh sepuluh bulan sahaja," ujarnya.

Inisiatif E10 adalah salah satu usaha yang dirangka khas selaras dengan aspirasi negeri Kedah untuk terus maju dalam bidang ekonomi. Inisiatif ini digerakkan oleh Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (PMC) sebagai pemudah cara kepada pelabur yang berhasrat melabur di Kulim.

"Permit pembinaan ekspres ini ditawarkan oleh pihak berkuasa tempatan, MPKK kepada pelabur yang melabur lebih dari 100 juta. Ia sebagai galakan kepada mereka supaya menyiapkan kerja-kerja pembinaan dalam tempoh sepuluh bulan atau tempoh yang dipersetujui bersama.

"Yang Dipertua MPKK, Dr. Haji Nadzman Mustaffa telah memberi komitmen bahawa pihak majlis dengan kerjasama semua agensi teknikal akan memudah cara pelabur, mendapatkan sijil penyiapan dan pematuhan serta lesen perniagaan dalam tempoh yang dipersetujui," sambung Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.

Inisiatif ini mencapai matlamatnya apabila projek rintisnya iaitu syarikat ASPEN Glove berjaya membina kilang dan bersedia beroperasi hanya dalam masa 10 bulan berbanding proses sebelum ini yang memakan masa lebih lama. ASPEN Glove melabur sebanyak 280 juta dan mewujudkan sekurang-kurangnya 2,500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada penduduk tempatan dan sekitarnya.

“Jika kita lihat bermula dari bulan September 2020 sehingga Julai 2021, kilang milik ASPEN Glove Sdn. Bhd. di Kulim Industrial Corridor ini telah berjaya dibina serta mendapat sijil penyiapan dan pematuhan. Mereka juga bersedia untuk beroperasi dalam masa 10 bulan. Syarikat ini juga telah mendapat lesen perniagaan dalam masa 24 jam,” tambahnya lagi.

Dato’ Ammar turut menjelaskan bahawa sebelum ini secara puratanya lesen perniagaan hanya diperolehi selepas dua atau tiga bulan selepas mendapat CCC. Namun, ASPEN Glove membuktikan keberkesanan E10 setelah berjaya mendapat lesen perniagaan dalam tempoh hanya 24 jam.

Hadir sama menyaksikan perasmian secara atas talian, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman, Yang Dipertua MPKK, Dr. Haji Nadzman Mustaffa, Pengarah Wilayah Utara MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah, Pengarah Urusan Kumpulan ASPEN Glove, Ir. Anilarasi Amaranazan.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#pelaburanKedah
#inisiatifE10

Tiada ulasan