Header Ads

test

PPV MEGA MAMPU BERI 5,000 VAKSIN SEHARI


PPV MEGA MAMPU BERI 5,000 VAKSIN SEHARI
 
SUNGAI PETANI – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Amanjaya Sports Arena, Sungai Petani beroperasi mulai hari ini. PPV ini mampu melaksanakan pemberian 5,000 dos sehari kepada penduduk daerah Kuala Muda.
 
Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata PVV Mega ini merupakan usaha kerajaan negeri bagi mempercepatkan vaksinasi di daerah Kuala Muda yang mencatat peningkatan kes yang tinggi.
 
“Pada hari pertama ini kita mulakan suntikan dengan 1,500 dan keesokannya meningkat kepada 2,000 suntikan. Bermula 12 Ogos kita akan "full swing" kapasiti 5,000 suntikan sehari.
 
“Dengan semua kapasiti PPV Awam, PPV Integrasi dan PPV Mega di daerah Kuala Muda ini, kita akan mencapai “herd immunity” iaitu kita berjaya buat suntikan seminggu 65,500 di daerah Kuala Muda ini. 

"Menjelang Oktober, kita akan menghabiskan dos satu dan dos dua kepada penduduk daerah Kuala Muda yang berumur 18 tahun ke atas yang berjumlah 362,900,” katanya ketika sidang media di PPV Mega, hari ini.
 
Jelas Haji Sanusi, pendaftaran melalui MySejahtera telah mencapai 89.08 peratus dan untuk suntikan dos pertama telah dibuat suntikan 131 ribu dan dos kedua telah disuntik 74,365 orang setakat 4 Ogos.
 
 “Saya ingin memberi peringatan, di PPV Mega kita tak boleh "walk in" kerana semua pendaftaran dibuat melalui MySejahtera yang disusun atur oleh CITF (Badan Bertindak Imunisasi COVID-19) dengan kerjasama wakil Protect Healthcare Corp.

"Kita tak dapat bukak "walk in", kerana kita ada bekalan dos yang memadai berdasarkan pendaftaran MySejahtera," katanya.
 
Tambahnya lagi, jumlah vaksin mampu memenuhi permintaan dan setiap individu akan mendapat panggilan suntikan vaksin masing-masing berdasarkan pendaftaran yang telah dibuat.

 
“Dengan kapasiti vaksin yang kita terima daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu sebanyakk 220 ribu seminggu. Semua operasi PPV Awam, Integrasi dan Mega disusun untuk memenuhi keperluan rakyat negeri Kedah," ujar Menteri Besar.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato' Dr. Mohd Hayati Othman, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina & Siam, YB Robert Ling Kui Ee, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Haji Abdullah Hashim.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusetiaPeneranganDarulAman
#UPDA 
#MBKedah 
#ppvKedah
#vaksin
#covid_19

Tiada ulasan