Header Ads

test

KEGIATAN PEMBALAKAN DI ULU MUDA TERPAKSA DITERUSKAN ALOR SETAR


KEGIATAN PEMBALAKAN DI ULU MUDA TERPAKSA DITERUSKAN
ALOR SETAR – Pembalakan di Ulu Muda diteruskan hanya bagi kawasan yang telah dikeluarkan lesen pembalakan sebelum ini.
Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan dari pihak yang ingin menghentikan aktiviti pembalakan ini akan memberi implikasi undang-undang kerajaan negeri Kedah.
“Di samping itu, dari segi ekonomi, pemberhentian pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda telah menyebabkan pengurangan pembukaan kawasan dan ianya secara tidak langsung akan mengakibatkan pengurangan hasil kerajaan negeri.
“Selain daripada itu, penutupan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda akan menyebabkan berlakunya pengurangan sumber bahan kayu untuk bekalan penggunaan dalam industri perkayuan yang mana seterusnya akan memberi kesan kepada peluang pekerjaan,” ujar Haji Sanusi menjawab pertanyaan ADUN Jitra, YB Dato’ Seri Utama Haji Mukhriz Tun Mahathir di Persidangan Dewan Undangan Negeri Penggal Keempat DUN kali ke-14 di Wisma Darul Aman, hari ini.
Katanya lagi, usaha kerajaan negeri meneruskan pembalakan ini berpandukan kepada tiga syarat yang ditetapkan.
“Pembukaan pembalakan tahunan adalah berdasarkan Catuan Tebangan Tahunan yang ditetapkan dan pembalakan dijalankan dengan kaedah Mesra Alam Sekitar dengan penggunaan mesin pengusahasilan sistem ‘log fisher’ serta menambah dan menetapkan Zon Penampan terhadap alur sungai,” jelas beliau.
Katanya, kerajaan negeri menggariskan pelbagai inisiatif dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 seperti pembangunan projek-projek berimpak tinggi dan perbandaran baharu yang lestari dan mampan.
“Inisiatif-inisiatif sebegini akan memberi impak ekonomi yang positif khususnya dari segi peluang pekerjaan kepada rakyat. Keadaan ini akan menyumbang kepada peningkatan hasil pendapatan kepada kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui kutipan cukai tanah dan cukai pintu dengan wujudnya kawasan industri serta perbandaran baharu di negeri Kedah tanpa bergantung pada hasil pembalakan,” jelasnya lagi.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"


Tiada ulasan