Header Ads

test

STATUS TERKINI KXP, KRC ALOR SETAR


STATUS TERKINI KXP, KRC

 

ALOR SETAR – Satu syarikat tujuan khas (SPV) dibentuk bagi melancarkan usaha sama pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan pihak pelabur SUK Development yang telah ditandatangani pada 2 Ogos 2021.
Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Majlis Perancangan Fizikal Negara yang bersidang pada 27 Oktober 2020 telah bersetuju secara dasar dengan cadangan pembangunan KXP disertakan dengan lapan nasihat yang perlu dipatuhi.
“Untuk proses pengambilan semula tanah, permohonan pewartaan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 akan dikemukakan oleh pihak Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) setelah kerajaan negeri menerima peruntukan yang mencukupi bagi tujuan tersebut daripada pihak pelabur.
“Mengenai proses menandatangani penubuhan SPV, syarikat telah memberikan jaminan bank sebanyak RM1 bilion dan syarat yang kita letakkan untuk proses ini di bawah Seksyen 8 Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960. Sewaktu menandatangani perjanjian penubuhan SPV, kita mensyaratkan syarikat ini mendepositkan kepada kerajaan sebanyak 125% daripada nilaian awal Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi tanah-tanah tersebut dan anggarannya adalah RM2.1 bilion.
“Tetapi syarikat ini memberikan komitmen akan mendepositkan RM6 bilion kerana menurut syarikat ini, jika mereka tidak ada RM6 bilion mereka tidak akan dapat melaksanakan projek ini. Jadi, itulah janji atau komitmen yang telah diberikan oleh rakan usaha sama yang akan terlibat bersama lerajaan negeri dalam SPV yang akan ditubuhkan,” ujar Haji Sanusi.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan daripada ADUN Sungai Limau, YB Mohd Azam Abdul Samat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Penggal Keempat DUN ke-14 di Wisma Darul Aman, semalam.
Beliau turut memaklumkan status terkini Kedah Rubber City (KRC) dilaksanakan secara berfasa melibatkan fasa satu seluas 500 ekar dan bagi fasa dua seluas 700 ekar.
“Peratusan siap keseluruhan fasa satu adalah 57 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2022. Komitmen pelaburan setakat ini adalah RM1.55 bilion dan telah diterima daripada dua syarikat pelabur.
"Para pelabur ini dijangka akan memulakan operasi di KRC seawal suku keempat 2023 selepas semua infra berkaitan, terutamanya elektrik dapat dibekalkan kepada KRC,” jelasnya.

 

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"

 


Tiada ulasan