Header Ads

test

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR KEDAH BELANJAWAN 2022




KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR KEDAH
BELANJAWAN 2022

1. Setinggi tinggi penghargaan diucapkan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Kewangan atas pembentangan Belanjawan 2022 hari ini.

2. Bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah, terima kasih atas keprihatinan untuk memberikan peruntukan khas RM20 juta khusus untuk negeri-negeri kurang maju, termasuk Kedah.

3. Terima kasih juga atas peruntukan projek mencegah hakisan di Pantai Merdeka di Daerah Kuala Muda, juga peruntukan untuk penyelenggaraan tapak arkeologi Lembah Bujang.

4. Perhatian yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan khususnya MOTAC terhadap aset warisan sejarah yang begitu bernilai di kawasan Lembah Bujang terutama Sungai Batu, saya yakin akan menjadi tarikan baharu peminat dan komuniti penyelidik dari seluruh dunia.

5. Selain itu, peruntukan yang tidak secara langsung disalurkan terutama untuk projek-projek menaik taraf infrastruktur di kawasan luar bandar seperti jalan kampung dan kemudahan telekomunikasi bawah program JENDELA, turut memberi manfaat yang besar kepada rakyat negeri ini.

6. Demikian juga bantuan-bantuan pemulihan ekonomi yang disalurkan kepada komuniti usahawan kecil, pekebun kecil, penoreh getah dan lain-lain kumpulan berpendapatan rendah, diharap akan dapat membantu mereka yang terbabit segera keluar daripada belenggu kemelesetan pasca pandemik.

7. Peruntukan ‘one off’ kepada guru takmir dan pegawai-pegawai masjid juga amat dihargai.

8. Walaupun jumlah peruntukan khas yang diberi jauh kurang berbanding yang dimohon, saya yakin pintu rundingan akan terus dibuka berkaitan keperluan Negeri Kedah untuk peruntukan khas yang lebih tinggi.

9. Ini bukan semata-mata kerana Kedah sebuah negeri miskin tetapi bersabit dengan ‘pengorbanan’ yang terpaksa dilakukan demi kepentingan negara.

10. Sebagai penyumbang utama keperluan beras negara (43%), kami terpaksa mengekalkan tanah sawah yang ada di negeri ini yang jika ditukar kepada status komersil dan industri, akan memberikan pulangan berlipat kali ganda kepada Kerajaan Negeri.

11. Kami juga terpaksa mengekalkan kawasan hutan simpan seluas 341,000 hektar yang kami ada, sebahagian besarnya di Hulu Muda kerana itu kawasan tadahan sumber air bukan sahaja untuk kegunaan rakyat Kedah (termasuk pengairan sawah) tetapi juga Pulau Pinang.

12. Atas ‘pengorbanan’ itu, saya berharap untuk dapat terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan dari masa ke masa walaupun tidak dinyatakan dalam belanjawan kali ini.

Sekian.

Salam hormat,
HAJI MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Menteri Besar

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

Tiada ulasan