Header Ads

test

MYDIGITALMAKER ASAH BAKAT GOLONGAN MUDA DALAMI KEMAHIRAN DIGITAL









MYDIGITALMAKER ASAH BAKAT GOLONGAN MUDA DALAMI KEMAHIRAN DIGITAL

ALOR SETAR – Seramai 7695 peserta menyertai Program #Mydigitalmaker Virtual Fair Negeri Kedah “Maireka” 2021 secara atas talian.
Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penganjuran program ini dilihat mampu menjadi platform untuk mengasah bakat dan kemahiran golongan muda dalam bidang teknologi digital dan multimedia kreatif.
Katanya, individu yang memiliki kemahiran digital ini mempunyai masa hadapan dan peluang yang cerah bagi mendepani keperluan bakat digital ke arah negeri Sejahtera dan Berdaya Huni Menjelang 2035.
“Ekonomi digital akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu seperti pereka cipta animasi, pengendali dron, pakar rangkaian, pembangun aplikasi mudah alih, saintis data dan pakar komuniti dalam rangkaian sosial,” kata beliau di Majlis Perasmian Penutup #Mydigitalmaker Virtual Fair Negeri Kedah “Maireka” 2021 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Tambah Haji Sanusi, program secara digital ini selari dengan misi kerajaan dalam melahirkan bakat digital dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital.
“Saya sangat mengharapkan agar golongan pelajar yang terlibat dalam program ini dapat meningkatkan daya kreativiti dan daya cipta untuk menambah baik atau mencipta produk dan kemudahan yang mampu menjadi faktor penarik kepada pelabur dan masyarakat umum.
“Harapan saya agar segala aktiviti dan ilmu yang diperoleh menerusi pelaksanaan program ini dapat menjadi nilai tambah dan dimanfaatkan untuk kegunaan masa hadapan. Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi di masa akan datang dalam melahirkan Keluarga Malaysia yang Makmur, Inklusif dan Mampan,” tambah beliau.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, YB Wan Romani Wan Salim, ADUN Ayer Hitam, YB Azhar Ibrahim, Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Muhammad Mahazi Haji Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd, Haji Mohd Sahil Zabidi dan Timbalan Pengarah (Sektor Pengurusan Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Sabri Othman.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

Tiada ulasan