Header Ads

test

KESEJAHTERAAN RAKYAT JADI ILTIZAM UTAMA KERAJAAN KEDAH


KESEJAHTERAAN RAKYAT JADI ILTIZAM UTAMA KERAJAAN KEDAH

ALOR SETAR- “Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah, iltizam saya adalah untuk membawa kesejahteraan buat seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum, politik atau sebagainya.”

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor berkata demikian dalam Majlis Perhimpunan Pagi Penjawat Awam Negeri Kedah bertempat di Wisma Darul Aman, hari ini.

Tambah beliau lagi, kerajaan bertanggungjawab dan bekerja keras untuk membawa masuk peluang pekerjaan sekali gus akan mengangkat taraf ekonomi rakyat.

“Berdasarkan potensi pelaburan yang semakin meningkat jangkaan peluang pekerjaan di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) Fasa 4 adalah sebanyak 15,928 jawatan menjelang tahun 2027.

“Kulim Industrial Corridor dijangka menawarkan sebanyak 150,000 peluang kerja menjelang tahun 2035. Manakala, Kedah Rubber City (KRC) dijangka menyediakan sebanyak 15,000 peluang kerja.

“Sidam Logistic, Aerospace & Manufacturing Hub (SLAM) di Sidam sebanyak 25,000 peluang kerja serta Kedah Technology & Science Park (KTSP) dijangka menawarkan 23,000 peluang kerja,” jelas beliau.

Sanusi turut menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Negeri berada di landasan yang betul untuk memenuhi aspirasi agenda pembangunan Kedah 2035.

“Bagi menggapai impian itu perkara paling penting adalah kerajaan yang ada pada hari ini perlu terus mendapat sokongan dan kerjasama daripada seluruh penjawat awam.

“Sikap pertanggungjawaban dan berkongsi amanah inilah yang mahu diterapkan kepada semua penjawat awam di bawah slogan “Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua” yang menjadi teras polisi Kerajaan Negeri,” ujar beliau.

Dalam majlis tersebut, Menteri Besar turut merasmikan Majlis Pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Kedah serta pengisytiharan Hari Jumaat sebagai Hari Kebersihan Negeri Kedah.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"


 

Tiada ulasan