Header Ads

test

132 KELUARGA DAPAT MANFAAT PEMBINAAN TELAGA TIUB

 


SIK – 132 keluarga menarik nafas lega apabila menerima bekalan air bersih daripada Yayasan Ikhlas yang membina telaga tiub di Kampung Tanah Hitam, semalam.

 

Menurut Pengerusi Yayasan Ikhlas, Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, projek rintis yang pertama di semenanjung ini menelan kos sehingga RM270,000 dan mampu membekalkan 400 liter air sehari.

 

Katanya, telaga tiub ini dibina di sebidang tanah wakaf dan pembinaannya mengambil masa 16 minggu.

 

“Projek ini  dijangka siap hujung Mei depan dan akan diserahkan kepada Surau Al-Mustaqim bagi menguruskan telaga ini.

 

“Projek ini juga dibantu dengan kerjasama Kelab Anak-Anak Sik (KAAS) dengan bantuan dana daripada Yayasan Ikhlas melalui Tabung Pembangunan Sistem Air Bersih,” ujarnya. 


Beliau berkata demikian kepada akhbar selepas Majlis Penyerahan Tapak Projek Pembinaan Telaga Tiub di Kampung Tanah Hitam yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, YB Romani Wan Salin.

 

YB Romani berkata, beliau menyambut baik hasrat seumpama ini kerana membantu kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu bekalan air penduduk.

 

“Kita memang mengharapkan sangat dengan slogan 'Kedah Negeri Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti’ menarik lebih ramai penyumbang hadir ke Kedah. 


"Slogan ini membawa mesej akan harapan kerajaan negeri untuk kita sama-sama menghayati semangat keprihatinan, permuafakatan dan kasih sayang dalam masyarakat terutamanya bagi kita orang Islam dalam berkongsi rasa untuk membantu antara satu sama lain," ujarnya.


Hadir sama, Ahli Parlimen Sik, YB Ahmad Tarmizi Sulaiman, ADUN Belantik, YB Ustaz Mohd Isa Shafie, Pegawai Daerah Sik, Mahamad Suhaimi Man dan Pegawai Khas Kawasan Menteri Besar, Haji Badrul Hisham Abdul Rahman.

Tiada ulasan