Header Ads

test

KRC BAKAL BERI MANFAAT PADA RAKYAT KEDAH


KRC BAKAL BERI MANFAAT PADA RAKYAT KEDAH

PADANG TERAP- Projek strategik nasional berimpak tinggi Kedah Rubber City (KRC) dapat memacu produktiviti dan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam sektor ekonomi utama yang bernilai tinggi.

KRC merupakan salah satu daripada pelbagai projek pencetus perubahan ‘game changer’ yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri untuk mentransformasi negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang maju.

“Ini sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara wilayah. Projek ini turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyampaikan pembangunan berskala besar ke kawasan-kawasan kurang membangun di negara ini, “ ujar Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob dalam Majlis Perasmian Projek Strategik NCER – KRC di Ladang Bukit Ketapang di sini hari ini.

Menurut Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, projek KRC ini satu projek berimpak tinggi di Wilayah Koridor Utara (NCER) yang termasuk dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035.

"Alhamdulillah, bagi tempoh Januari hingga September 2021, Kedah telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM57.1 bilion atau 32 peratus daripada nilai pelaburan masuk ke negara kita bagi tempoh yang sama,"jelas Menteri Besar.

Di bawah Pelan Pembangunan Strategik Wilayah NCER (2021-2025), Kedah dijangka akan mencapai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahunan berjumlah RM62 bilion menjelang tahun 2025, berbanding RM46 bilion pada tahun 2020.

"Ekonomi Kedah telah melonjak semula dengan kukuh pada 2021 dengan disokong oleh pelaburan swasta dalam sektor pembuatan khususnya dalam pengeluaran sarung tangan getah, produk elektrik dan elektronik, serta tenaga boleh baharu,"ujar beliau.

Tambahnya, pertumbuhan pelaburan untuk Kedah akan terus dikekalkan dengan pelaksanaan projek-projek strategik berimpak tinggi seperti KRC.

“Saya yakin, KRC juga mampu mengikut jejak langkah Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dalam menarik kemasukan pelaburan yang berkualiti yang berupaya menjana limpahan manfaat kepada rakyat negeri Kedah, khususnya dari segi mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu,” jelas beliau.

Rakyat Kedah dari segenap lapisan masyarakat juga bakal menikmati manfaat daripada pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi NCIA seperti NCER AgriBio Economic Zone (NAEZ) yang merangkumi Model Pengurusan Estet (EMM) 2.0 bagi penanaman padi di Pendang serta Bandar Baharu Innovation Hub, Kedah Science & Technology Park (KSTP), Integrated Economic & Community Centre atau iCON di Sik, Baling dan Yan, serta Perpustakaan Digital Kedah (Kedah Digital Library), kata beliau.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed, Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Dato' Seri Mahdzir Bin Khalid, Menteri Besar Perlis, YAB Dato’ Seri Azlan Man, Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Saarani Mohamad.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"


 

Tiada ulasan