Header Ads

test

MBI DILANTIK SEBAGAI OSA PAPAN IKLAN LUAR






 

ALOR SETAR – Menteri Besar Incorporated (MBI) dilantik sebagai One Stop Agency (OSA) oleh kerajaan negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 7 Oktober 2020.

 

Kelulusan ini diberikan bagi menyelia permohonan dari mana-mana pihak untuk pembinaan papan iklan luar di seluruh negeri Kedah dengan syarat-syarat dan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, penyelarasan ini adalah untuk memperlihatkan paparan iklan berwajah baharu di negeri Kedah dengan menepati syarat dan piawaian yang ditetapkan.

 

“Kerajaan negeri mengambil satu ketetapan mengubah entiti ekonomi terutamanya di bidang pengiklanan papan tanda dengan mewujudkan OSA bagi menyelaraskan standard piawaian yang sepatutnya. 


“Setiap papan iklan luar yang dibina mesti menepati garis panduan yang ditetapkan serta paparan tersebut bebas daripada unsur merosakkan pemikiran rakyat di samping meningkatkan nilai estetika negeri ini,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran One Stop Agency (OSA) Papan Luar Negeri Kedah di Hotel Seri Malaysia yang menerima penyertaan seramai 41 wakil daripada agensi yang terlibat.


Antara agensi tersebut ialah PBT, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Plan Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) dan Jabatan Pengairan dan Sungai (JPS).

 

Katanya, penubuhan ini juga memerlukan kerjasama yang erat antara PBT dan OSA yang dilantik bagi memastikan keseragaman papan iklan luar tercapai. 

 

“Menyentuh peranan PBT dalam OSA ini, saya ingin menegaskan pihak PBT tetap berkuasa dan berperanan dalam membantu melaksanakan kerja-kerja pemutihan serta penguatkuasaan selaras dengan peruntukan dalam Akta 171 dan 172 Kerajaan Tempatan.

 

“Sehubungan dengan itu, saya amat berharap PBT dapat membantu kerajaan negeri dalam membuat pemutihan dan penguatkuasaan,” ujarnya lagi.

 

Hadir sama, Pengarah Urusan MBI, Haji Mohd Sobri Osman.

Tiada ulasan