Header Ads

test

JADIKAN SEJARAH SEBAGAI AGENDA PERJUANGAN

 


JADIKAN SEJARAH SEBAGAI AGENDA PERJUANGAN 
 
BALING- “Kalau kita mengaji dan mengajar tentang sejarah namun terhenti setakat dalam dewan kuliah sekadar nak dapat ijazah tetapi tidak digerakkan sebagai agenda perjuangan maka kita tetap kekal menjadi bahan sejarah. 
 
“Tanpa bahan-bahan sejarah yang diangkat secara ilmiah kita terdedah dengan persepsi yang begitu banyak. Kadang-kadang perkara yang benar tetapi persepsi yang dipersembahkan dalam bentuk mengelirukan, orang kata kita berdiri di atas fakta yang salah.” 
 
Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata demikian dalam Majlis Pelancaran dan Wacana Buku Liku-liku Pertemuan Baling di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling hari ini. 
 
Tambah beliau, kebenaran tidak dapat disanggah apabila mempunyai fakta sejarah yang sahih.

“Sejarah dipelajari untuk mengetahui kisah masa lalu, memahami senario masa kini dan menjadi pedoman untuk kita bentuk suasana masa hadapan,” jelas Sanusi. 
 
Menteri Besar turut menyatakan setinggi penghargaan kepada penulis buku Liku-liku Pertemuan Baling, Mejar (B) Dr. Nor Ibrahim Sulaiman dan penerbitnya, Dewan Bahasa dan Pustaka atas penghasilan buku yang begitu penting dan bermanfaat kepada masyarakat. 
 
“Buku ini terhasil daripada tesis penulis sendiri dan berjaya diolah menjadi buku yang mudah difahami. Dengan itu, pembaca mendapat maklumat yang lebih jelas dan sahih tentang peristiwa yang berlaku di Baling pada hari pertemuan itu,” ujar beliau. 
 
Karya ini memaparkan kisah pertemuan antara Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan dua lagi pemimpin kanan PKM.

Pertemuan ini diadakan sebagai usaha kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk meminta ahli PKM meletakkan senjata dan bersama-sama meraikan dan menikmati kemerdekaan dalam keadaan aman dan muhibah.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"

#MediaMBKedah
#UrusSetiaPeneranganDarulAman


Tiada ulasan