Header Ads

test

PROJEK EMM 2.0 PENDANG: SINAR BARU BUAT INDUSTRI PADI NEGARA

PROJEK EMM 2.0 PENDANG: SINAR BARU BUAT INDUSTRI PADI NEGARA

PENDANG - Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor berkesempatan melakukan lawatan kerja ke Tapak Projek Pengurusan Estet Padi (EMM) 2.0 Pendang hari ini.

EMM 2.0 Pendang merupakan inisiatif strategik di bawah NCIA Agribio Economic Zone (NAEZ) kesinambungan daripada projek EMM 1.0 yang bermula sejak RMK-10.

Program EMM 1.0 melibatkan 2,000 hektar sawah dengan penglibatan pesawah padi di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dan seterusnya diperluas ke beberapa lokasi lain di Kuala Muda Selatan, Asun dan Kerpan di Kedah dan Kerian di Perak termasuk sawah di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Projek ini berkaitan Pengurusan Estet Padi bagi mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi sehingga mencapai 8 tan metrik/hektar (mt/ha) menjelang tahun 2026.

Penambahbaikan utama yang dilakukan dalam EMM 2.0 adalah pengenalan Sistem Pertanian Pintar (SFS) yang pertama kali dilaksanakan di kawasan padi secara komersial.

Sistem ini dipantau oleh kumpulan penasihat teknikal (TWG) yang terdiri daripada The Collaborative Research in Engineering, Science and Technology Centre (CREST) sebagai koordinator dan kepakaran daripada beberapa agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Universiti Sains Malaysia (USM) , MIMOS Berhad dan Elliance.

Melalui sistem ini, para petani dapat dibantu untuk menguruskan tanaman padi dengan lebih sistematik, moden dan berkualiti tanpa bergantung penuh kepada pengurusan secara manual. Di samping dapat menarik golongan muda dan berpendidikan menceburi industri padi negara.

Sejak awal musim 2/2021 pada bulan Oktober 2021, kerja-kerja pembangunan dan pelaksanaan SFS telah dimulakan melalui ‘intervension’ pihak NCIA dan ia telah berjaya meningkatkan purata hasil padi daripada 2 mt/ha kepada 4.5 mt/ha dalam masa satu musim sahaja.

Projek yang berjumlah RM5 juta ini telah dilaksanakan di Kampung Asam Jawa Pendang dengan keluasan 64 hektar dan diuruskan oleh syarikat tempatan melibatkan penggunaan Internet Pelbagai Benda ataupun IPB (IoT- Internet of Things) dan Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

"Saya yakin dengan semua teknologi ini akan membantu para petani untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi dan pendapatan,"ujar Menteri Besar.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"


 

Tiada ulasan