Header Ads

test

SMART SBB INISIATIF MAFI TINGKAT PENDAPATAN PESAWAH

 

 

ALOR SETAR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) adalah salah satu inisiatif bagi meletakkan sektor pertanian sebagai antara penyumbang penting ekonomi negara.

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, YB Dato’ Dr. Ronald Kiandee berkata selari dengan sasaran, pelbagai program dan pendekatan baharu telah dirangka merentasi semua subsektor agro makanan termasuk padi dan beras bagi meningkatkan pengeluaran dan memastikan bekalan makanan negara mencukupi sepanjang masa.

 

“MAFI sedang melaksanakan program SMART SBB yang disertai oleh Syarikat-Syarikat Peneraju yang berminat untuk membangunkan kawasan-kawasan penanaman padi secara berperingkat, menerusi pelbagai kaedah pelaksanaan seperti pertanian kontrak, sewaan perkhidmatan dan sebagainya. Penyertaan pesawah dalam program ini adalah secara sukarela dan tiada sebarang bentuk paksaan.

 

“Bertitik tolak daripada bulan September 2020, setakat ini terdapat penyertaan lapan belas syarikat peneraju yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Kerajaan mensasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar. 

 

“Program SMART SBB terbukti berhasil meningkatkan pendapatan dan produktiviti pesawah dengan pengurusan sumber secara optimum melalui program penyatuan tanah sawah selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah,” ujarnya. 





Beliau berkata demikian ketika ucaptama di Majlis Pelancaran Smart Sawah Berskala Besar di Kawasan Muda dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pihak MAFI bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) serta Memorandum Persefahaman (MoU) MADA bersama BERNAS dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Perkarangan Pejabat PPK MADA C-IV Kangkong, Kota Sarang Semut, di sini hari ini. 


Katanya, MoU bersama LZNK ini memberi keistimewaan dengan menampilkan elemen kebajikan kepada pembangunan asnaf melalui penawaran khidmat bimbingan, latihan serta semua kemudahan berkaitan pembangunan industri dan beras. 

 

“Saya difahamkan bahawa, MADA menyasarkan sejumlah 10,000 hektar sawah padi akan diusahakan melalui program SMART SBB ini menjelang tahun 2025,” katanya.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan MAFI), YB Datul Badrul Hisham Mohd, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, YB Azman Nasruddin, Pengerusi MADA, YB Ahmad Tarmizi Sulaiman, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, YB Nurulhisham Yaakob, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Haji Norizan Khazali, Pengurus Besar MADA, Haji Kamarudin Dahuli, Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Azman Mahmood,  Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Haji Zakaria Othman, Pengerusi NAFAS, Datuk Zamri Yaakob dan Pengurus Besar Kanan Jabatan Pengurusan Ladang BERNAS, Norhisham Abdul Rahman.

Tiada ulasan