Header Ads

test

PEMBANGUNAN INSAN PERKASA GOLONGAN PENTADBIR, PENDIDIK


ALOR SETAR – Kerajaan negeri sentiasa meletakkan keutamaan kepada pembangunan insan bagi membangunkan insan secara holistik di negeri Kedah.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, YB Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah Haji Ghazali berkata, pembangunan insan ini selaras dengan Pelan Kedah 2035 yang dilancarkan oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.

 

“Pelan strategik Pembangunan Insan Negeri Kedah bakal bertemakan Insan Sejahtera yang merangkumi sembilan teras utama yang melihat aspek kehidupan masyarakat yang boleh dibimbing secara holistik merentasi sempadan sempit ideologi, agama, politik dan bangsa.

 

“Bakal berpandukan misi memperkukuhkan agenda pembangunan insan melalui penyediaan strategi pemerkasaan kepimpinan dan modal insan di setiap komuniti berteraskan pendekatan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mulut daripada ADUN Bukit Lada, YB Ustaz Salim Mahmood dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kali Ke-14 di Wisma Darul Aman, hari ini.

 

Katanya, pelbagai cadangan teras telah dirangka yang bakal memberi penekanan khusus kepada golongan sasar. 

 

“Cadangan teras satu ialah kesiagaan tadbir urus yang meletakkan sasaran untuk memperkasa urus tadbir pembangunan modal insan dengan kualiti terbaik bagi pelbagai agensi dan jabatan penggerak.

 

“Teras keempat adalah kewibawaan pendidik dan pendakwah. Teras ini bakal memberi penekanan untuk memperkasa mereka sebagai qudwah dan ikon masyarakat yang menyasarkan golongan seperti guru KAFA, guru takmir dan para pengkuliah di seluruh negeri Kedah,” tambahnya.

Tiada ulasan