Header Ads

test

PROJEK ESTET PADI KETENGAHKAN PETANI ASNAF DALAM PERTANIAN




ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengambil inisiatif mengadakan Zon Pembangunan Ekonomi Ummah (ZPEU) melalui projek Estet Padi yang mengetengahkan petani di kalangan asnaf dan orang miskin dalam aspek pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, YB Brigedier Jeneral Dato’ Haji Najmi Haji Ahmad (B) berkata ZPEU adalah satu projek perintis yang berkonsepkan daripada asnaf kepada asnaf yang melibatkan aspek pembangunan insan kepada asnaf.

“Melalui ZPEU ini para peserta akan dipilih dari golongan asnaf, fakir dan miskin atau B40 yang mempunyai kemahiran dalam pertanian padi. Semua kos dan modal awal seperti penyediaan benih padi, baja, racun, peralatan penanaman, jentera pembajak, jentera menuai dan sebagainya akan ditanggung oleh LZNK.

“Padi yang dituai kemudiannya akan diproses menjadi beras seterusnya diagih semula kepada golongan asnaf di negeri Kedah. Itulah yang dikatakan sebagai daripada asnaf kepada asnaf,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mulut daripada ADUN Tanjung Dawai, YB Ustaz Haji Hanif Haji Ghazali dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kali Ke-14 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Maklum beliau, LZNK memilih 10 peserta dari kalangan asnaf dan orang miskin setempat bagi mengusahakan tanah sawah seluas 100 relung iaitu 28 hektar dan hasil yang diperoleh para peserta musim pertama amat memuaskan.

“Memandangkan hasil percubaan mendatangkan hasil oleh itu LZNK mensasarkan untuk mengembangkan projek ini kepada keseluruhan 305 relung iaitu 89.6 hektar di Daerah Yan yang boleh memberikan manfaat peluang pekerjaan kepada 30-40 orang asnaf.

“ZPEU dilaksanakan dengan penggunaan teknologi moden yang berskala besar dengan memperkenalkan sistem pertanian secara campuran di mana para peserta akan memperoleh hasil sampingan daripada aktiviti pertanian yang lain seperti penternakan ikan puyu,” tambah beliau.

Tiada ulasan