Header Ads

test

KERAJAAN KEDAH SALUR RM1 JUTA KEPADA SEKOLAH AGAMA, PONDOK DAN TAHFIZ

 



ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah menyerahkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada sekolah agama,pondok dan institusi tahfiz berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) di sini, hari ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata agihan peruntukan itu bagi memastikan kemajuan institusi pendidikan agama seiring dengan perkembangan dunia semasa.

Menurutnya, peruntukan itu memberi manfaat kepada kesemua 211 buah institusi pendidikan agama yang berdaftar di bawah JHEAIK untuk tujuan yang ditetapkan.

“Diharapkan bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya terutama bagi tujuan pengurusan operasi sekolah seperti membayar bil utiliti, bukan bagi tujuan pembaikan, pembangunan, pembelian aset atau menaik taraf bangunan sekolah," ujar Sanusi. 

Beliau nyatakan hal demikian di Majlis Penyerahan Bantuan Operasi dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengetua Sekolah-Sekolah Agama, Mudir Maahad Tahfiz dan Pondok Negeri Kedah yang dianjurkan di Dewan Seri Mentaloon . 

Muhamad Sanusi turut menggalakkan institusi pendidikan agama berdaftar secara sah di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman Tahun 1988.

“Dapat dilihat dari semasa ke semasa, semakin banyak sekolah-sekolah agama didaftarkan dan ini dapat membantu Kerajaan memastikan hal-hal yang berkaitan keselamatan, termasuklah keselamatan dari sudut prasarana dan keselamatan dari sudut perisian kurikulum dapat dipantau dan dikawal.

“Ini penting dalam usaha kita untuk menentukan semua sekolah agama yang berdaftar menjalankan aktiviti kurikulum sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah serta menepati kehendak Ahli Sunnah Wal Jamaah,”katanya.


“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”


#MediaMBKedah 

#UrusSetiaPeneranganDarulAman

Tiada ulasan