Header Ads

test

SYARIKAT TERBIODEGRADASI UAE BANGUNKAN 10 KILANG DI KEDAH


GURUN –10 kilang pembungkusan terbiodegradasi baharu akan dibina di Gurun yang menelan belanja hampir RM400 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.


Pengerusi Jawatankuasa Perusahaan, Perladangan dan Komiditi, YB Azman Nasrudin berkata, pembinaan ini merupakan kerjasama antara Free The Seed Sdn Bhd dengan Hotpack Packaging Industries LLC (Hotpack) dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).


“Pembinaan kilang pengeluaran pertama seluas 3,200 meter persegi di kawasan tapak Free The Seed akan bermula pada Mei 2022 dan dijangka siap pada Ogos 2022. Ini merupakan kilang pertama Hotpack di Asia Tenggara.


“Pelaburan ini juga dijangka mewujudkan 300 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun pertama sebelum meningkat ke 1,200 peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun,” ujarnya.


Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, YB Ronald Kiandiee pelaburan ini juga melahirkan tenaga kerja mahir dan separa mahir, serta menghasilkan pembungkusan terbiodegradasi daripada pelbagai jenis sisa pertanian seperti daun nanas, jerami padi dan bahan agro-biojisim lain di Malaysia.


“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) amat gembira kerana usaha dan komitmen yang dijalankan semasa ekspo itu telah memupuk kerjasama global yang penting ini, yang berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab terbiodegradasi terkemuka di Asia Tenggara. 


“Model mampan dan kitaran ini akan membawa kepada pendapatan yang lebih baik untuk lebih ramai komuniti petani di Malaysia, di samping menarik lebih ramai pelabur asing, melindungi alam sekitar, dan menambah nilai kepada pertanian lestari di Malaysia dan UAE,” jelasnya lagi.


Turut hadir ketika Majlis Pecah Tanah Hotpack Packaging Industries LLC, UAE adalah Timbalan Menteri MAFI II, YB Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh, Ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Sabri Azit dan Pegawai-Pegawai Kanan Pengurusan Tertinggi MAFI.

Tiada ulasan