Header Ads

test

HARUMANIS D’AMAN TARIKAN TERBARU NEGERI KEDAH

 


KOTA SARANG SEMUT - Nama 'Harumanis D’Aman' menjadi pilihan mendahului 500 cadangan nama lain bagi penjenamaan semula harumanis negeri Kedah yang bakal menjadi tarikan terbaru negeri ini.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata bahawa tanaman mangga harumanis merupakan salah satu anugerah untuk rakyat Negeri Kedah.

“Daerah Kubang Pasu dan Padang Terap dikenal pasti sebagai kawasan yang sesuai untuk ditanam harumanis kerana kesesuaian cuaca dan tanah untuk mangga itu,” ujar beliau dalam Majlis Penjenamaan Harumanis Negeri Kedah di sini hari ini.

Jelasnya, keluasan tanaman harumanis adalah seluas 98.76 hektar dengan anggaran pengeluaran sebanyak 65 metrik tan sehingga tahun 2022. Ia dijangka meningkat sehingga 200 hektar dan pengeluaran sebanyak 600 metrik tan menjelang tahun 2025.

Menurut Muhammad Sanusi, sebuah Pelan Pembangunan Harumanis Kedah telah dibentangkan oleh Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri dalam Sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas.
“Saya yakin, jika Pelan Pembangunan Harumanis dilaksanakan dengan sepenuh komitmen, ia dapat mengangkat industri mangga harumanis mencapai satu tahap penjenamaan dengan nilai komersil sebagaimana yang telah berjaya dicapai oleh negeri jiran (Perlis),” tambahnya lagi.

Katanya lagi, usaha penjenamaan harumanis D'Aman haruslah setanding dengan usaha peningkatan kualiti dan bukan semata-mata mempromosi imej atau identiti.

"Kualiti dan kelazatannya adalah yang terbaik yang pernah saya temui di Kedah," kata Sanusi dalam sidang media selepas tamat program.

Bagi memastikan hasil yang dikeluarkan berupaya untuk menarik perhatian masyarakat, Menteri Besar menasihatkan agar Jabatan Pertanian Negeri perlu meneruskan lagi penyelidikan, peningkatan teknologi, amalan dan sikap para petani perlu sentiasa berada pada tahap yang terbaik.


Tiada ulasan