Header Ads

test

HENTIKAN MANIPULASI ISU AIR DI KEDAH

 


 
ALOR SETAR- Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata bahawa ada pihak tertentu yang cuba memanipulasikan masalah bekalan air bagi tujuan kepentingan peribadi kerana isu ini mudah memancing emosi rakyat. 
 
Muhammad Sanusi turut menjelaskan kerajaan negeri sebelum ini telah mengubah dasar yang menyebabkan pelan menaik taraf lima LRA iaitu LRA Pelubang di (Kubang Pasu), LRA Lubuk Buntar Lama (Bandar Baharu), LRA Sungai Limau (Baling), LRA Jenun Baru (Pendang) dan LRA Bukit Selambau (Kuala Muda) tertangguh.  
 
“Jika pelan dasar itu tidak diubah, usaha mengatasi masalah bekalan air di seluruh Kedah, Insya-Allah dapat dilaksanakan lebih awal dan berkemungkinan tidak berlarutan hingga ke hari ini,” beliau berkata demikian dalam Kenyataan Media YAB Menteri Besar Kedah, semalam. 
 
Tambahnya lagi, kini pelbagai langkah penyelesaian yang lebih konkrit serta komprehensif telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri mengikut prosedur dan nasihat daripada Kementerian Alam Sekitar & Sumber Air (KASA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). 
 
“ Pada pertengahan tahun 2021, projek menaik taraf lima LRA yang mencecah RM931 juta dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun lagi. 
 
“ Selain itu, kerajaan negeri juga telah menyusun pelan pengurangan air tidak terhasil (NRW) termasuk pelan penggantian paip di seluruh Kedah yang keseluruhannya menelan kos hampir RM1 bilion. 
 
“ SADA juga telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk pelan kontingensi bagi menghadapi masalah gangguan bekalan air pada musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini,” ujar beliau. 
 
Menteri Besar berkata bahawa beliau perlu memberi penjelasan seperti ini bagi menangkis tohmahan pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan seolah-olah kerajaan negeri dan SADA tidak mengambil apa-apa tindakan untuk mengatasi masalah bekalan air di Negeri Kedah. 
 
“Saya memohon  maaf bagi pihak kerajaan negeri dan SADA atas gangguan bekalan air yang sering berlaku di kawasan tertentu namun yakinlah bahawa usaha untuk mengatasi masalah ini sentiasa dilakukan dan akan terus dilakukan,” katanya.

'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"

#MediaMBKedah
#UrusSetiaPeneranganDarulAman


Tiada ulasan