Header Ads

test

GENERASI KINI PERLU DITERAPKAN TELADAN ORANG TERDAHULU


AYER HITAM –  ADUN Ayer Hitam, YB Haji Azhar Ibrahim menyifatkan generasi kini perlu dididik mengikut acuan teladan dan pengajaran daripada orang terdahulu.


Katanya, perubahan besar dalam kanvas kehidupan masyarakat kini menuntut banyak perhatian dan penelitian dalam memberi pendidikan kepada anak muda.


 “Saya mengimbau nostalgia keluarga besar 40, 50 tahun lalu yang wujud di kampung-kampung. Dahulu satu kampung adalah keluarga walaupun tidak mempunyai pertalian darah daging. Anak-anak dalam kampung bebas ditegur dan dididik oleh semua ahli kampung yang lebih tua.


“Anak aku adalah anak hang, anak hang adalah anak aku. Kita pakat tegur dan ajar. Hasilnya, kualiti hidup anak-anak terkawal dengan etika agama, adat, maruah ibu ayah terlindung dan maruah kampung terjaga. Itulah perbezaan peredaran masa,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahun Kali Ke-47 di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam, semalam.


Katanya, alangkah baiknya norma kekeluargaan itu kembali diamalkan pada zaman kini tatkala cabaran mendidik anak-anak makin besar dan memerlukan pengorbanan yang kuat dari ibu bapa.


“Tidak cukup  dengan hanya guru yang mendidik selama enam ke tujuh jam sehari untuk 190 hari setahun kerana masa mereka lebih banyak bersama ibu bapa dan masyarakat.


“Sudah sampai waktunya ibu bapa menggalas tugas mendidik anak dan tidak terlalu mengharapkan orang lain. Perlu galakkan anak untuk lebih bergaul bersama masyarakat serta kenalan rapat agar bibit kemesraan itu timbul antara satu sama lain,” katanya lagi.

Tiada ulasan