Header Ads

test

HOSPITAL PENDANG SIAP SEPENUHNYA AKHIR 2022


ALOR SETAR – Hospital Pendang di Kampung Banggol Pauh yang dalam pembinaan kini sudah mencapai tahap 98 peratus siap, ujar Ahli Parlimen Pendang, YB Datuk Awang Hashim.


Katanya, beliau melihat Pendang antara daerah yang masih lagi tidak mempunyai hospital dan hal ini membebankan penduduk untuk berulang alik ke hospital lain dengan jarak jauh dan kos yang tinggi.


“Hospital ini bakal menjadi mercu tanda baharu bagi Daerah Pendang dan pembinaan hospital ini akan meringankan bebanan penduduk dan mengurangkan kos ditanggung mereka. 


"Sebelum ini, mereka akan menggunakan teksi ataupun menaiki kenderaan untuk ke kawasan-kawasan bandar seperti Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani," katanya kepada pemberita selepas Dialog Berstruktur Tripartite 2022 Wilayah Utara: Meningkatkan Kebolehkerjaan Graduan Tvet di sebuah hotel di Mergong, di sini pada Rabu.


Katanya, perasmian hospital ini dijangka dibuat pada hujung tahun 2022 tetapi mungkin akan dipercepatkan lagi bagi membolehkan penduduk menggunakan kemudahan yang ada di situ. 


Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, beliau mendapati pembinaan hospital berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.


“Setiap dua, tiga bulan saya akan turun untuk melihat sendiri tahap kemajuan dan pembinaan hospital ini. Dalam lawatan saya ke Hospital Pendang semalam, saya lihat semuanya berjalan lancar jadi saya yakin ia dapat beroperasi sepenuh pada tahun 2023,” ujarnya lagi.


Tambahnya lagi, hospital berkenaan merupakan semi pakar yang bakal melengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi dan berkuasa tinggi yang diimport dari luar negara.


Hospital yang dibina di kawasan seluas 17 hektar ini bakal dimanfaatkan lebih 10,000 penduduk dan mampu menempatkan sebanyak 126 katil.

Tiada ulasan