Header Ads

test

KSTP : KUKUHKAN DAYA TARIKAN PELABUR ASING KE KEDAH


ALOR SETAR – Penubuhan Kedah Science and Technology Park (KSTP) mengukuhkan lagi daya tarikan pelaburan asing dan domestik terhadap negeri Kedah.

Menurut Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor pembangunan KSTP ini membuktikan komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Kedah dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk menjadikan Kedah sebagai hab Penyelidikan dan Pembangunan dan Pengkomersilan (R&D&C) dan pembuatan.  

“Sehingga Mei 2022, Kedah telah merealisasikan pelaburan bernilai RM2.89 bilion dan mewujudkan 1,778 peluang pekerjaan baharu,” ujar beliau dalam sidang media selepas menyaksikan Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama Pembangunan Fasa 2 Taman Perindustrian Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) antara NCIA dan PKNK di sini, hari ini.

Kejayaan ini menurutnya disumbangkan oleh pertumbuhan dalam sektor pembuatan peranti perubatan diikuti oleh pertanian dan industri bio, logistik dan pelancongan.

Jelas Muhammad Sanusi, keluasan KSTP yang akan dibangunkan adalah 1,851.36 ekar akan merangkumi fasa pertama dengan keluasan 240 ekar yang bakal diterajui oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) manakala fasa kedua sebanyak 840.3 ekar diterajui oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan fasa ketiga berkeluasan 771.06 ekar bagi pembangunan masa hadapan.

Projek nasional di bawah Pelan Pembangunan Strategik Wilayah  Ekonomi Koridor Utara (2021-2025) ini terletak di lokasi yang strategik berhampiran di sempadan Malaysia-Thailand serta direka untuk memanfaatkan kawasan persekitaran dari segi pembuatan bernilai tinggi dan bekalan sumber asli di kawasan sekitar.

Tambahnya lagi impak bagi projek ini adalah RM12.9 billion pelaburan swasta, RM72.7 billion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyasarkan 23,244 peluang pekerjaan.

“Saya harap usaha sama ini akan dipercepatkan untuk membangunkan sektor- sektor yang boleh memulihkan ekonomi yang terkesan,” kata Sanusi.

#MediaMBKedah
#UrusSetiaPeneranganDarulAman


 

Tiada ulasan