Header Ads

test

MALAYSIA AMBIL LANGKAH WASPADA PASANG SISTEM AMARAN AWAL



YAN – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mengambil inisiatif memperkenalkan Sistem Amaran Awal Early Warning System (EWS) Bencana Geologi Aliran Puing bagi kawasan yang berisiko di seluruh negara.


Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemasangan EWS ini bertujuan memberi amaran awal kepada penduduk menerusi bunyi siren bagi mengelakkan penduduk kehilangan nyawa dan harta benda.


Katanya, pemasangan EWS ini berdasarkan kajian dan perancangan daripada Jabatan Meneral dan Geosains (JMG).


“Pemasangan EWS ini berdasarkan kajian dan perancangan JMG yang mana kita akan mengutamakan lokasi yang mempunyai risiko lebih tinggi berlaku bencana. Di Sabah dan Lembah Klang juga sering berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika Program Kesedaran Sistem Amaran Awal Aliran Puing Bersama Komuniti Jerai Geopark di Titi Hayun di sini, pada Ahad.


Katanya lagi, sistem ini adalah kerjasama pintar antara JMG dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta diintegrasikan dengan sistem amaran awam Angkatan Pertahanan Awam (APM).


“Teknologi ini sudah dilaksanakan di negara maju seperti Jepun dan Taiwan. Penggunaan wayar-wayar tertentu diletakkan pada lokasi aliran air yang boleh mengesan berlaku aliran debris seperti batu dan pokok seterusnya mengaktifkan sistem dengan bunyi siren meliputi kawasan seluas 1,500 meter radius,” katanya lagi. 


Tambahnya lagi, pemasangan ini adalah untuk memberi iktibar daripada peristiwa ‘kepala air’ yang berlaku kepada penduduk di Kaki Gunung Jerai yang mengorbankan enam nyawa pada Ogos lalu.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato' Wira Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, YB Dr. Robert Ling Kui Ee, Ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Sabri Azit dan Ketua Pengarah JMG, Haji Hisamuddin Termidi.

Tiada ulasan