KEDAH KOMITED TINGKATKAN PEMBANGUNAN USAHAWAN KE PERINGKAT GLOBAL
PATTANI, THAILAND – Kerajaan Negeri Kedah amat komited dalam usaha meningkatkan pembangunan usahawan di negeri ini sehingga ke peringkat global, khususnya dalam pengeluaran dan pemasaran produk halal.
“Sektor keusahawanan di Malaysia khususnya negeri Kedah telah mendapat faedah sepenuhnya apabila rangkaian produk-produk Malaysia dapat menembusi pasaran Thailand melalui ekspo antara dua negara,” ujar YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam Majlis Penutup ASEAN Halal Expo 2022 (AHEX 2022) hari ini.
Menurut Menteri Besar, program AHEX 2022 yang berlangsung selama lima hari telah menyediakan peluang perniagaan yang baik untuk para usahawan Malaysia yang sekali gus dapat membantu mereka menembusi pasaran halal tempatan dan antarabangsa.
Jelasnya, kerajaan negeri melalui Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) merupakan penggerak utama dalam pemilihan syarikat-syarikat yang berdaya saing untuk menyertai expo pada kali ini.
Tambahnya lagi, Malaysia terkenal di seluruh dunia dalam bidang industri halal yang merangkumi aspek infrastruktur industri halal, perundangan dan peraturan.
Persijilan halal dari Malaysia juga diakui oleh seluruh komuniti industri halal global.
“Saya ingin menyeru kepada usahawan terutamanya usahawan Bumiputera supaya bersiap sedia dengan apa jua keperluan untuk mengembangkan perniagaan dalam segmen ini,” ujar Sanusi.
Mengulas lanjut, beliau berkeyakinan bangsa Melayu dan Islam akan dihormati malah disegani apabila sektor ekonomi diperkemaskan.
“Agama dan bangsa kita, Islam dan Melayu akan diangkat lebih tinggi pada posisi yang betul apabila kita turut memperkemaskan sudut ekonomi yang sangat dituntut dalam agama kita.
“Saya sangat yakin dan marilah kita berusaha bersungguh-sungguh bersama-sama mengangkat sektor ekonomi umat Islam di rantau ini untuk kita wariskan pada generasi akan datang.
“Kebangkitan kita tidak akan dapat disekat oleh sesiapa pun sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk maju ke depan,” tegas Sanusi.
Post a Comment