KEDAH PANDANG SERIUS POLIGAMI TANPA KEBENARAN
ALOR SETAR – Pasangan yang gagal memohon kebenaran pejabat agama untuk berpoligami di luar negara boleh didakwa dan dikenakan denda atau penjara, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
ADUN Sungai Limau, YB Mohd Azam Abd Samat berkata, denda akan dikenakan sebanyak tidak lebih RM3000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.
“Jadi kita harap bila undang-undang ini kita angkat beri kesedaran kepada rakyat negeri Kedah khususnya untuk kita melalui dengan proses yang betul. Poligami ini bila proses itu berjalan dengan betul maka dia akan menatijahkan suatu yang baik di dalam sistem kekeluargaan.
“Makna dia bukan kesemua peraturan ini kita tak bagi langsung tetapi sebagai suatu kawalan dan kita letakkan hukuman yang lebih tinggi ini RM1000 denda kepada RM3000. Kita harap dengan peningkatan denda ini masyarakat kita akan lebih ‘alert’ dengan perkara ini,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, hari ini.
Katanya, cadangan asal dikemukan peringkat awal dikenakan denda sebanyak RM5000 namun angka tersebut menyamai denda bagi kesalahan berzina.
“Alhamdulillah, respon dan persetujuan daripada pihak pembangkang pun amat positif. Bermakna diperingkat kerajaan dalam usaha mengawal, memberikan hukuman yang setimpal kepada kesalahan-kesalahan itu,” ujarnya.
Dalam perkembangan yang sama, pindaan ini telah dibuat di Persidangan Dewan Undangan Negeri bagi meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Keluarga Islam (Pindaan) 2022.
Post a Comment