Header Ads

test

KOS PEMBINAAN RUMAH MANGSA BANJIR SEKITAR RM75 RIBU



KUALA LUMPUR- Mesyuarat pelarasan antara agensi yang terlibat dengan pembinaan rumah ganti bagi mangsa banjir memutuskan kos sebuah rumah adalah sekitar RM75 ribu berdasarkan harga bahan binaan terkini.


Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata demikian dalam laman Facebook beliau semalam. 


Katanya, beliau turut memaklumkan langkah-langkah yang diambil Kerajaan Negeri bagi menguruskan bencana aliran puing di Baling kepada Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob sebaik selesai Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) di Bangunan Parlimen semalam. 


Menurutnya, YAB Perdana Menteri meminta agar pembinaan rumah disegerakan kepada penduduk yang kehilangan kediaman mereka. 


Selain itu, beliau turut meminta melakukan pantauan ke kawasan lain yang mungkin berisiko menghadapi situasi seperti itu pada masa akan datang. 


Kata Sanusi, berdasarkan pengalaman banjir aliran puing di Yan dan Baling, Perdana Menteri bersetuju bahawa kejadian bencana seumpama itu memang sukar diramal, di luar jangkaan dan harus diselesaikan dengan teratur.


Tambahnya lagi, komitmen kerajaan negeri adalah menyiapkan pembinaan rumah dalam tempoh kurang daripada 6 bulan termasuk infrastruktur yang diperlukan. 


Jelas beliau, tanah berhampiran perkampungan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kampung Sadek itu masih berstatus tanah kerajaan negeri dipilih bagi menempatkan rumah-rumah tersebut.


Rumah-rumah itu akan dibina oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan pembiayaan Tabung Kedah Care, sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).


"Kerja-kerja pengukuhan tebing sungai sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran JPS (KASA) dan kerja pendalaman Sungai Lata Celak yang cetek akibat ditimbus pasir hanya boleh dilakukan kemudian," ujar Sanusi.


#MediaMBKedah

#UrusSetiaPeneranganDarulAman

Tiada ulasan