Header Ads

test

KES DENGGI DI KEDAH MENINGKAT



KULIM - Rakyat di negeri ini perlu meningkatkan tahap kebersihan di rumah dan sekitarnya bagi membendung penularan wabak denggi.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato' Dr. Mohd Hayati Othman berkata, rakyat dinasihatkan agar menjaga persekitaran rumah bagi membendung peningkatan kes demam denggi. 


Katanya, pihak kerajaan menerima laporan peningkatan kes demam denggi bermula November 2021 sehingga bulan ini. 


"Ia merupakan satu petunjuk bahawa persekitaran kita kurang bersih dan menyebabkan berlakunya peningkatan tempat pembiakan nyamuk Aedes yang boleh membawa kepada peningkatan kes demam denggi yang bukan sahaja mendatangkan kemudaratan malah seandainya berlaku komplikasi, ianya mampu menyebabkan kematian, "ujar beliau. 


Beliau berkata demikian di Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Negeri Kedah Tahun 2022 dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Taman Ria, Padang Serai di sini, pada Sabtu.


Katanya lagi, program gotong royong di setiap kawasan perlu diadakan dengan kadar segera secara berkala melibatkan komuniti setempat dan semua agensi yang terlibat bagi mengekang penularan Nyamuk Aedes ini. 


"Ramai yang masih belum sedar akan bahayanya nyamuk Aedes ini dan membiarkan takungan air menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.


"Hanya meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari Jumaat dalam memastikan rumah kita bersih dan bebas tempat pembiakan Aedes bukan sahaja di luar, malahan juga di dalam rumah," katanya.


Mengikut laporan negeri Kedah mencatat sebanyak 533 kes dengan dua kes kematian denggi telah dicatatkan yang menunjukkan peningkatan sebanyak 112 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu. 


Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Daerah), Mohd Zaini Salleh, wakil Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Ahmad Shakir Arus, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Norizan Ahmad dan Pegawai Kesihatan Daerah Kulim, Dr Alias Abd Aziz.

Tiada ulasan