Header Ads

test

KHAZANAH HUTAN PENTING UNTUK DIPELIHARA


ALOR SETAR – “Tiada masa yang lebih sesuai selain dari sekarang untuk kita meletakkan kepentingan memelihara dan menguruskan khazanah hutan secara berkekalan sebagai agenda utama dalam kehidupan seharian.”

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata demikian dalam Majlis Penanaman Pokok sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kedah Tahun 2022 seterusnya menjayakan Program Penghijauan Malaysia : Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang disempurnakan oleh Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Menerusi Kempen Penanaman 100 Juta pokok, Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa Negeri Kedah telah menyasarkan sebanyak 2,750,000 pokok akan ditanam bagi tempoh lima tahun bermula dari tahun 2021 dan anggaran penanaman pokok setahun adalah 550,000 pokok.

Namun pada tahun 2021, pokok yang ditanam melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 623,468.

Muhammad Sanusi berkata Kedah merupakan negeri yang kaya dengan khazanah alam dan tanahnya yang berkeluasan 942,600 hektar di mana 36% daripada keluasan ini merupakan kawasan berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang seluas 344,175.26 hektar.

Menurut beliau kerajaan negeri sangat komited dalam menambah jumlah keluasan HSK yang mana kawasan-kawasan tanah kerajaan yang berhutan akan digazetkan sebagai kawasan berhutan.

Katanya pada 14 April lalu, kerajaan telah berjaya mewartakan sebanyak 2,294.38 hektar Tanah Kerajaan untuk dijadikan sebagai HSK yang melibatkan tujuh pewartaan kawasan baru.

HSK di negeri Kedah menurutnya telah diurus secara mampan melalui pengurusan hutan secara berkekalan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.

Beliau turut menegaskan bahawa pembalakan di negeri Kedah tidak dijalankan sewenang-wenangnya dan perlu mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang telah ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara.

Tambah beliau kuota CTT bagi Negeri Kedah adalah seluas 4,200 hektar setahun bagi tempoh RMK-12 (2021-2025).



 

Tiada ulasan