Header Ads

test

PERKESO LULUS PENCEN SEUMUR HIDUP WARIS KORBAN BANJIR BALING


BALING - Waris mangsa korban tragedi banjir di Baling terima perlindungan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, Abdul Rahman Said, 71 merupakan suami kepada allahyarham Salmah Mat Akib,53 bakal menerima perlindungan seumur hidup.


"Arwah isteri Abdul Rahman yang merupakan pencarum PERKESO melayakkan beliau menerima pencen berjumlah RM640.50 sebulan seumur hidup bermula 1 Ogos ini dan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2000.


"Isterinya yang hilang bersama rumahnya yang hanyut ditemui meninggal dunia bersama menantunya, Nurul Anis Abu Hassan,23 dan kemudian anaknya Khairul Ikhwan,14 lebih kurang tiga jam selepas itu," ujarnya ketika ditemui di Kompleks Pas Baling, di sini, hari ini.


Katanya lagi, mana-mana mangsa yang mencarum dengan PERKESO layak menerima bantuan faedah di bawah skim bencana.


"Di peringkat kementerian juga membuat keputusan menggerakkan sukarelawan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia iaitu Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) untuk bersama-sama membantu dan membersihkan rumah mangsa banjir," ujarnya.


Tambahnya lagi, kementerian juga bersetuju memberikan peruntukan kepada mangsa yang kehilangan rumah dan kediaman yang rosak teruk.


"Esok kita akan berikan sumbangan kepada semua mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang kehilangan rumah dan kerosakan teruk kediaman.


"Selepas keadaan agak tenang, jawatankuasa penyelaras akan bertindak merancang bagaimana untuk menyediakan kediaman baharu kepada mangsa," ujarnya.

Tiada ulasan