Header Ads

test

RAJA MUDA KEDAH LAWAT MANGSA BANJIR, BERKENAN KURNIA SUMBANGAN


 

BALING - Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin menitahkan supaya rakyat yang diuji dengan banjir agar terus bersabar lebih-lebih lagi tragedi ini berlaku ketika umat Islam sedang membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha. 

 

Titah nasihat tuanku itu ketika berangkat bercemar duli ke Daerah Baling bagi melawat tempat kejadian tragedi kepala air, di sini.


DYTM Tuanku perkenan berangkat melawat tempat kejadian dan menyampaikan sumbangan wang tunai dan barang keperluan harian kepada 112 keluarga yang terlibat. 


DYTM Tuanku turut berkenan berangkat menyeberangi sungai menggunakan jambatan bailey yang baru disiapkan pada hari ini oleh Jabatan Kerja Raya dan anggota tentera.


"Dengan adanya jambatan sementara tersebut, jalan yang terputus akibat bencana tersebut telah dapat dihubungkan semula dan sekali gus memudahkan penduduk tempatan menjalankan aktiviti harian mereka," titah baginda dalam kenyataan media, hari ini. 


Baginda kemudiaannya perkenan mengurniakan khidmat sosial dengan bercemar duli membersihkan pekarangan Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang yang turut terjejas teruk akibat bencana alam tersebut.


Menerusi kenyataan itu, baginda menzahirkan ucapan takziah kepada semua mangsa terlibat dan berharap mereka bersabar menghadapi ujian yang ditempuhi ini. 


Dalam masa yang sama, baginda turut berbangga kerana banyak pihak dan pelbagai egensi turun padang membantu mangsa tidak kira dari segi pemberian sumbangan atau tenaga. 


Baginda turut mengingatkan kepada semua penduduk di negeri ini khususnya, sentiasa peka terhadap amaran dan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dari semasa ke semasa bagi membuat persiapan rapi sekiranya berlaku sebarang bencana. 


Berangkat sama, kedua-dua anakanda baginda iaitu Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Binti Mohamad Ariff, Yang Teramat Mulia Tunku Zara Bahiyah dan Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah.

Tiada ulasan