Header Ads

test

RUU KESELAMATAN SOSIAL SURI RUMAH 2022 LULUS


KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan lebih tiga jam oleh 19 ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.


RUU ini bertujuan bagi melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) untuk menjaga kebajikan suri rumah ketika berlakunya kejadian yang tidak diingini sewaktu menguruskan rumah tangga dan melindungi mereka daripada sebarang penyakit yang menjejaskan kerja sebagai suri rumah.


RUU ini dibentangkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Awang Hashim dalam Sidang Dewan Rakyat dan diluluskan oleh Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun tanpa pindaan selepas bacaan kali ketiga.


"Langkah ini dibuat untuk menyelaraskan skim ini dengan program i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ia juga mengambil kira suri rumah yang ada simpanan KWSP boleh mengeluarkan caruman mereka apabila mencapai 55 tahun," katanya.


Awang berkata, SKSSR ini akan ditadbir oleh PERKESO bagi mengiktiraf jasa suri rumah yang menjadi sebahagian ‘care economy’ secara langsung dalam pembangunan institusi kekeluargaan.


Katanya lagi, skim adalah yang pertama dilaksanakan dan tidak pernah ada dalam mana-mana perlindungan insuran yang membabitkan suri rumah.


“Pelaksanaan RUU itu menetapkan tafsiran suri rumah dalam SKSSR meliputi perempuan sama ada berkahwin atau belum dan mengurus rumah tangga secara sepenuh masa atau separuh masa.


"Ini termasuklah isteri, janda dan balu yang perkahwinannya didaftarkan serta ibu yang mempunyai anak atau ibu tunggal.

"Suri rumah yang layak diliputi ialah warganegara Malaysia dan pemastautin tetap,” jelasnya lagi.


Mengenai had umur bagi perlindungan ini, Awang berkata RUU itu hanya terpakai bagi suri rumah berumur kurang 55 tahun dan tidak terpakai untuk suri rumah yang mencapai umur 54 tahun serta tidak pernah mencarum dengan SKSSR.


"Suami, suri rumah, keluarga atau mana-mana orang boleh membayar caruman bagi pihak suri rumah itu. Suami atau suri rumah boleh memberi keizinan kepada majikannya untuk membuat potongan gaji bagi maksud pembayaran caruman," katanya.


Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan jika suami memilih untuk membuat caruman kepada isteri maka suami diwajibkan membayar caruman itu sebelum tempoh perlindungan tamat bagi menerima faedah yang ditawarkan.


Menurutnya lagi, sekiranya suami tidak mampu meneruskan caruman, perlu memaklumkan perkara itu kepada PERKESO sebelum tamat tempoh.


Menjelaskan perkara itu, bagi memenuhi kelayakan untuk menerima faedah, caruman perlu dibayar terlebih dahulu pada kadar RM120 setahun dalam tempoh 12 bulan.


"Untuk tidak membebankan suri rumah khususnya golongan yang mudah terjejas seperti miskin tegar, seramai 150,000 wanita yang berdaftar di bawah i-Suri akan dicarumkan oleh kerajaan selaras dengan Bajet 2022," katanya.

Tiada ulasan