Header Ads

test

FERROTEC LABUR RM500 JUTA BINA KILANG DI KEDAH


KULIM - Ferrotec Holdings Corporation akan membina kilang pembuatan baharu di Taman Teknologi Tinggi Kulim dengan nilai pelaburan melebihi RM500 juta. 


Pembinaan kilang itu melibatkan pemasangan produk elektromekanikal dan fabrikasi bahan termaju untuk peralatan semikonduktor yang direka bagi memenuhi keperluan pelanggan sambil mengembangkan perniagaan syarikat di peringkat antarabangsa. 


Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, YB Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, pembinaan itu bakal membuka 800 peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat. 


"Kilang yang dibina di atas kawasan seluas 80,000 kaki persegi itu dijangka mula beroperasi pada 2023 dan mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia sekaligus membantu memacu Kedah untuk menjadi negeri perindustrian dan maju," katanya. 


Beliau berkata demikian ketika pada sidang akbar selepas majlis pecah tanah di fasiliti pembuatan Ferrotec di sini, pada Selasa. 


Katanya lagi, Ferrotec akan memulakan pembinaan kilang dengan kadar segera dan akan dijangka mula beroperasi menjelang September tahun hadapan. 


Menurut Ku Abdul Rahman, Kedah mempunyai daya tarikan yang tinggi sehingga mampu menarik para pelabur melabur di Kedah. 


"Antara faktor tarikan pelabur antaranya hubungan baik semua agensi kerajaan mahupun persekutuan yang memberikan kerjasama sebagai satu pasukan.


"Di peringkat persekutuan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah memainkan peranan besar dalam menarik pelabur ke Kedah.


"Saya ingin mengambil ini peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada MIDA atas sokongan dan komitmen mereka," katanya.


Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Lim Bee Vian dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ferrotec Holdings Corporation, He Xian Han.

Tiada ulasan