Header Ads

test

KERAJAAN KEDAH KOMITED TINGKATKAN PENGHASILAN PADI NEGARA


ALOR SETAR - Salah satu usaha kerajaan negeri Kedah untuk mempertingkatkan hasil tanaman padi negara adalah melakukan tanaman padi sebanyak lima kali dalam tempoh dua tahun.

“Penghasilan padi negara mampu mencecah 80% dan ianya dapat membantu mengurangkan kadar import beras dan menjamin bekalan makanan negara,” ujar Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bagi tahun Kewangan 2021 bertempat di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Jelas Muhammad Sanusi, beliau menyokong usaha dibuat oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) ke atas 700 relung tanah sawah padi yang telah memberi satu tamparan kepada kartel padi. 

Katanya, para petani begitu lama terkepung dalam satu sistem penanaman padi yang tidak menguntungkan mereka malah menguntungkan pihak kartel padi. 

“Usaha yang dilakukan oleh LZNK ini akan menghasilkan satu revolusi dalam pengeluaran padi dan memberi nafas baru di negeri Kedah,” katanya.

Menteri Besar memaklumkan melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA),  kerajaan telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang mendapat bekalan air langsung dari empangan yang bersesuaian dengan projek penanaman padi ini.

Katanya, 1,240 hektar yang pertama akan ditanam padi lima kali dalam dua tahun ini memerlukan tambahan subsidi baja dan biji benih sekitar RM4 juta semusim.

“Saya harap agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dapat memberi perhatian lebih kepada industri padi.” kata beliau.


#MediaMBKedah 

#UrusSetiaPeneranganDarulAman

 

Tiada ulasan