Header Ads

test

ZAKAT MEMBERSIHKAN DAN MENYUBURKAN HARTA

 


ALOR SETAR - Mengeluarkan zakat mampu membersihkan dan menyuburkan harta pembayarnya.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) Bagi Tahun Kewangan 2021 bertempat di Wisma Darul Aman hari ini.

“Semakin tinggi nilai zakat yang dikeluarkan, maka semakin bersihlah harta kita,” ujar beliau.

Katanya, zakat bagi kumpulan PKNK bagi tahun taksiran 2021 meningkat kepada RM1.9 juta berbanding RM1.7 juta bagi tahun 2020.

Muhammad Sanusi berkata pencapaian ini adalah kerana PKNK menjadi ejen zakat bagi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan seterusnya bertanggungjawab untuk membuat kutipan zakat dari syarikat-syarikat kumpulan.

“Ternyata strategi dan perancangan yang dirangka oleh LZNK memberi impak yang positif kepada rakyat negeri Kedah,” katanya.

Tambah beliau antara hikmah pembayaran zakat adalah sebagai pemangkin ekonomi umat Islam serta menjadi dana kepada pembangunan khususnya yang melibatkan kepentingan umat Islam, selain dapat menyuburkan ukhuwah.

Menurut Sanusi program agihan balik wakalah zakat merupakan satu program yang sangat baik kerana pembayar-pembayar zakat turut berpeluang untuk turun padang menyantuni golongan yang layak menerima zakat, termasuk golongan asnaf dan fakir secara langsung.

“Menjadi harapan saya agar inisiatif dan pendekatan yang dilaksanakan ini diteruskan dengan penambahbaikan berterusan agar ekonomi umat Islam dapat diperkasakan.

"Bagi pembayar-pembayar zakat diharapkan agar usaha murni ini dapat meningkatkan lagi darjat dan kemakmuran rezeki disamping membersihkan harta yang dimiliki,” katanya.


#MediaMBKedah
#UrusSetiaPeneranganDarulAman


Tiada ulasan