Header Ads

test

SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA SIMBOL KEBERSAMAAN BELIA DAN KERAJAAN


POKOK SENA - Sambutan Hari Belia Negara menjadi simbol kebersamaan belia dan kerajaan dalam proses membangunkan belia secara holistik,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Romani Wan Salin.


Romani berkata, sambutan ini juga memperlihatkan peranan belia sebagai kelompok yang perlu diberi perhatian dan pengiktirafan daripada semua agensi kerajaan, pihak sekolah, pemimpin politik dan pemimpin masyarakat setempat.


“Hampir 21.4 peratus atau bersamaan dengan tujuh juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia merupakan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun, manakala belia berumur 15 hingga 40 tahun mencecah hampir 15 juta orang.


“Sememangnya angka ini sangat signifikan, sekali gus mempengaruhi setiap perancangan pembangunan bagi sesebuah negara dan negeri. Oleh itu, aspirasi dan pandangan belia adalah penting bagi Kerajaan merangka hala tuju di masa hadapan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Daerah Pokok Sena yang diadakan di Desa Keda Kampung Bukit, pada Sabtu.


Katanya lagi, bertepatan dengan tema “Ini Masa Kita” menyatakan belia adalah satu aset negara yang akan menjadi pewaris masa hadapan.


“Bagi saya, masa depan itu bermula pada hari ini. Tema ini membawa nilai dan makna betapa pentingnya kita memberikan pendedahan dan melibatkan anak-anak muda kita dalam arus perdana 

pembangunan tanah air sekali gus memberikan fokus kepada usaha pembinaan potensi diri golongan ini.


“Tema ini “Ini Masa Kita” juga amat luas maksudnya termasuk inilah masanya untuk kita memberikan suntikan semangat kepada seluruh belia negara untuk terus maju kehadapan, menerusi sambutan pada hari ini. 


"Tema ini juga mengingatkan kita betapa berharganya masa muda dan perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin, selain sinonim dengan golongan belia untuk bersama-sama membangunkan negara, walau dalam apa sekali pun keadaan yang melanda,” jelas Romani lagi.


Beliau juga menasihat para belia untuk terus menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan pada zaman ini kerana sukar untuk memajukan negara tanpa ilmu pengetahuan.


Dalam masa yang sama, beliau turut teruja dengan pameran moto-moto lama yang menggamit memori ketika beliau di waktu muda.

Tiada ulasan