Header Ads

test

SULTAN KEDAH SERU BINA KELUARGA BAHAGIA


ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menyeru semua rakyat negeri Kedah berusaha membina keluarga yang bahagia mengikut ajaran Islam.


Sultan Sallehuddin menitahkan setiap keluarga perlu mencari keredaan Allah SWT kerana keredaan itu menjadikan setiap keluarga bahagia dan harmoni.


“Manakala keberkatan pula membawa kebahagian dan keharmonian yang berterusan apabila rumah tangga itu dibina dengan asas yang sempurna dan sah, maka ia akan mendapat keredaan Allah SWT,” titah baginda.


Baginda bertitah secara dalam talian semasa merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444/2022 peringkat negeri Kedah, di Raia Hotel, di sini, hari ini.


Baginda juga menitahkan kepada semua ketua keluarga supaya berusaha mencari rezeki yang halal kepada keluarga yang akan menjadi darah daging.


“Jika makanan itu diperoleh daripada sumber yang tidak halal, sama ada makanan tersebut sendiri  yang tidak halal atau dibeli dengan cara yang tidak halal, maka ia akan merosakkan jiwa anak-anak dan mewarnai kotoran dalam hati isteri.


“Ia juga akan memberi kesan yang negatif kepada pembentukan akhlak anak-anak nanti. Sehubungan itu, amat penting bagi ketua keluarga menjaga punca rezeki serta makanan mereka, agar cahaya keimanan mudah masuk ke dalam hati sanubari dan terpelihara daripada azab neraka,” titah baginda.


Bertepatan dengan tema Maal Hijrah 'Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran', baginda menyeru kepada umat Islam memberi fokus dan keutamaan kepada pembinaan keluarga.


Pada majlis itu, disampaikan Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah kepada Pengasas Haji Ismail Group (HIG) Allahyarham Ismail Ahmad yang diterima oleh Balu Allahyarham, Yah Othman menerima hadiah wang Tunai RM15 ribu, hadiah iringan dan sijil penghargaan. 


Anugerah Masjid Terbaik Kategori Bandar pula dianugerahkan kepada Masjid Al Halim, Bandar Baharu manakala Anugerah Masjid Terbaik kategori Luar Bandar disandang oleh Masjid Al Busra Pekan Merbok, Sungai Petani. 


Kedua anugerah ini membawa pulang wang tunai bernilai RM20 ribu dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Romani Wan Salin.

Tiada ulasan