Header Ads

test

HOSPITAL SULTANAH MALIHA DINAIK TARAF SEBAGAI HOSPITAL PAKAR MAJOR


LANGKAWI- Hospital Sultanah Maliha bakal dinaik taraf sebagai Hospital Pakar Major yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai 2025.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin pelaksanaan projek ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di Pulau Langkawi dalam persekitaran yang lebih kondusif, moden dan selesa.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha Langkawi yang disempurnakan oleh Sultan Kedah Darul Aman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Darul Aman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff, di sini hari ini.

Jelasnya dengan terbinanya bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha ini dapat mengurangkan beban penerimaan pesakit untuk pakar rujuk terutamanya di hospital-hospital berdekatan seperti Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah dan Hospital Tuanku Fauziah, Perlis.

Katanya, konsep dan reka bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha ini adalah bertaraf antarabangsa yang bersesuaian untuk pelancong asing dan menjadi yang pertama dilengkapi kemudahan pendingin hawa di wad kelas 3.

“Selain daripada pelancaran pada hari ini kita juga akan mengumumkan lagi penambahbaikan segera, tidak perlu tunggu pembinaan hospital dan bangunan baru siap.

“Antaranya kerajaan akan menyediakan ‘sea ambulance’ (ambulans kapal) di pulau-pulau di sekitar Langkawi ini.

Tambahnya lagi kerajaan juga akan mengadakan memorandum persefahaman bersama Jabatan Bomba untuk menyediakan helikopter bagi kes-kes kecemasan yang perlu segera ke hospital berdekatan Pulau Langkawi.

Turut berangkat, Raja Muda Kedah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Dato' Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin.

Hadir sama Menteri Besar Kedah, YAB Dato Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof.


 

Tiada ulasan