Header Ads

test

ART LOQ STAQ FESTIVAL BANYAK BAWA MANFAAT KEPADA USAHAWAN


ALOR SETAR - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Mohd Firdaus Ahmad meminta orang ramai supaya mengambil nilai positif daripada Program keseluruhan  ‘Art Loq Staq Festival’ yang diadakan di Balai Seni Negeri, baru-baru ini.


Katanya, beliau dimaklumkan terdapat usahawan yang menjana hasil jualan di program tersebut hampir mencecah RM7,000 selama dua hari berniaga.


“Saya meminta untuk orang ramai memandang daripada sudut positif program tersebut. Kerana, video yang tular itu hanya dirakam beberapa saat ketika keadaan tidak terkawal sebelum pihak penganjur bertindak mengawal keadaan termasuk menghentikan persembahan itu.


“Program ini lebih kepada himpunan anak muda yang meminati seni, lukisan, usahawan kopi, seni fasion, sukan BMX dan bundel.


“Kerajaan negeri perlu perkemaskan lagi prosedur operasi standard (SOP) bagi menerima kedatangan program-program sebegini ke Kedah. Hasrat ‘organizer’ untuk buat program ini cukup baik untuk usahawan-usahawan Melayu kita. Bagi mereka ada tempat untuk meniaga. Saya difahamkan, usahawan bukan melayu juga turut serta,” ujarnya kepada media di Wisma Darul Aman, hari ini.


Katanya, disebabkan video itu, rosakkan nilai-nilai positif yang boleh diambil daripada program tersebut seperti mengetengahkan usaha anak-anak muda untuk berniaga serta mencungkil bakat-bakat muda di dalam seni dan lukisan.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, YB Brigedier Jeneral Dato’ Haji Najmi Haji Ahmad (B), keadaan yang berlaku ini membuka mata semua untuk terus meletakkan akhlak dan adab apabila melakukan sesuatu.


“Kita perlu mengharmonikan keadaan. Hasrat kerajaan negeri memang serius berkaitan akhlak anak muda. Saya kena berlaku adil kepada penganjur, supaya masyarakat kena ukur cara berdasarkan kepada fakta.


“Saya harap pihak orang ramai untuk mengukur dengan adil, dasar kerajaan negeri berkaitan hiburan tentu ada tata caranya mesti dilaksanakan dengan betul sama ada di pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pihak-pihak yang lain,” ujarnya.


Sementara itu, penganjur program ‘Muda Mudi Weekend Fest’, Ainol Zulkarnain Zainal Abidin, 28 berkata, pihaknya telah mematuhi segala SOP dan arahan yang ditetapkan dan tidak menyangka kejadian seperti itu akan berlaku.


“Kumpulan kami masih perlukan bimbingan. Hasrat kami hanya untuk kembangkan bakat anak muda, itu sahaja. Selepas ini, kami akan membuat pemilihan band yang lebih tepat.


"Mungkin pemilihan tempat agak kurang sesuai dan kami akan lebih berhati-hati pada masa hadapan.


"Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak seandainya program tersebut telah mencetuskan kontroversi dan memberi imej buruk kepada kerajaan negeri dan penganjur bersama, iaitu Balai Seni dan Muzium Kedah,” ujarnya.

Tiada ulasan