Header Ads

test

PULAU LANGKAWI CATAT 1.8 JUTA KUNJUNGAN PELANCONG


LANGKAWI - Bilangan jumlah kemasukan pelancong ke Pulau Langkawi telah mencatatkan peningkatan kira-kira 1.8 juta pelancong bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, jumlah tersebut agak besar berbanding unjuran awal pihaknya sebelum ini.


Beliau berkata, secara purata, kira-kira 200,000 pelancong melawat Langkawi setiap bulan, malah catatan bulan lalu adalah tertinggi untuk tahun ini iaitu seramai 252,000 orang.


"Sehingga akhir September, sejumlah 1.8 juta pelancong masuk ke Langkawi dan angka ini membuktikan kedatangan pelancong tidak berkurangan seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Karom Dunia Kali Kelapan di sini, semalam.


Katanya, data yang dikeluarkan LADA adalah sah dah boleh diguna pakai pelbagai pihak kerana data tersebut dikumpulkan secara harian.


"Data kemasukan pelancong dikumpul secara harian membabitkan tiga pintu masuk utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Jeti Kuah dan Dermaga Tanjung Lembung.


"Pelancong diyakini terus mengunjungi Langkawi sepanjang baki dua bulan terakhir tahun ini, untuk membantu kita mencapai sasaran 2.5 juta pelancong," katanya.

Tiada ulasan