Header Ads

test

BANTUAN KHAS RM1500 KEPADA PENJAWAT AWAM NEGERI KEDAH


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah bersetuju memberikan bantuan khas kewangan berjumlah RM1500 seorang kepada semua kakitangan awam negeri dan anggota pentadbiran negeri yang melibatkan pembayaran berjumlah RM8 juta. 

“Bantuan khas ini sebagai tanda menghargai sumbangan dan pengorbanan semua kakitangan awam atas kesungguhan yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan dasar, program, projek yang dirancang oleh kerajaan demi membangunkan negeri Kedah,” ujar Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Bajet 2023 Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Jelasnya lagi anggaran mengurus bagi tahun 2023 bertambah berikutan keputusan dasar yang dibuat oleh kerajaan persekutuan iaitu penetapan kadar gaji minimum dan pemberian kenaikan gaji secara 'one-off' sebanyak RM100 kepada setiap kakitangan gred 56 ke bawah. 

Manakala guru lantikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEIK)  juga akan menerima faedah kenaikan secara 'one-off' berjumlah RM100 seorang seperti yang dinikmati penjawat awam yang lain.

Tambah beliau, sejumlah RM460 juta diperuntukkan untuk meningkatkan kemudahan kepada penjawat awam bagi perbelanjaan mengurus pada tahun 2023 yang meliputi peruntukan emolumen, perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan serta peruntukan pembelian aset dan alatan kerja.

Menurut Muhammad Sanusi, kerajaan juga telah menetapkan polisi supaya semua bangunan kerajaan disenggara dan dinaiktaraf bagi menambah nilai aset tak alih. 

Menteri Besar turut memaklumkan peruntukan bagi kerja-kerja menaiktaraf bangunan dan fasiliti jabatan-jabatan negeri Kedah adalah sebanyak RM22.09 juta.


#MediaMBKedah 
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
 

Tiada ulasan