Header Ads

test

KEKUATAN FISKAL NEGERI MENGHADAPI GETIR CABARAN EKONOMI


 Oleh HAFIZ MANSOR


Langkah merangka belanjawan negeri dalam tempoh ini sememangnya mencabar. Ekonomi global terus mengalami kelembapan dengan unjuran 3.2 peratus keseluruhan bagi tahun 2022 dan jangkaan menguncup kepada 2.9 peratus pada tahun hadapan. 


Dalam masa yang sama, kedudukan inflasi global dan kenaikan kos sara hidup menjadi himpitan utama masyarakat dan tidak terkecuali Malaysia.


Keadaan ini didorong oleh konflik Eropah Timur yang berpanjangan sejak Februari tahun ini, dasar monetari di AS di samping pendekatan sifar kes COVID-19 di China yang membantutkan perjalanan ekonomi.


Ia memberikan kesan terhadap pengurusan dasar fiskal negara termasuklah di peringkat negeri. 


Ruang fiskal perlu diperluas bagi menyerap tekanan inflasi global selain mengatasi unjuran kelembapan ekonomi.


1. Kecekapan Pengurusan


Meskipun berhadapan dengan ekosistem kewangan yang tidak menentu, Kerajaan Negeri Kedah berjaya mengutip hasil melebihi sasaran minimum RM500 juta iaitu RM517.07 juta (71 peratus daripada sasaran RM725 juta). 


Tambahan lagi, beberapa indikator penting menunjukkan kecekapan pengurusan kewangan yang berhemah.


Antaranya penganugerahan Sijil Bersih Penyata Kewangan oleh Ketua Audit Negara serta pertumbuhan KDNK Kedah juga melepasi paras KDNK Nasional dengan 3.2 peratus berbanding 3.1 peratus pada tahun 2021. 


Kedudukan pelaburan RM68.3 bilion tahun lalu menunjukkan pendekatan mesra pelabur Kerajaan melantunkan semula keyakinan terhadap prospek ekonomi Negeri Kedah.


Tahun ini pelaburan menghampiri sasaran minimum RM10 bilion yang termaktub dalam  Pelan Pembangunan Kedah 2035.


2. Strategi Utama


Kerajaan mengekalkan tiga strategi utama yang dirangka pada Bajet yang lalu iaitu pemulihan ekonomi, kualiti hidup serta penerimagunaan teknologi bagi meningkatkan perkhidmatan penyampaian. 


Keutamaan diberikan kepada para usahawan dengan Skim Pinjaman Mikro Kredit Kedah Sejahtera yang bertitik tolak daripada prinsip pinjaman tanpa faedah.


Kerajaan juga melanjutkan dasar bebas berniaga sehingga Disember 2023. Ia juga merangkumi pendekatan penempatan semula perniagaan di tapak yang selesa dan selamat. 


Langkah ini dapat menyokong semula perniagaan setempat sekaligus memberikan kesan pengganda (multiplier effect) kepada pembangunan sosioekonomi negeri. 


Langkah pemulihan ekonomi juga lebih komprehensif merangkumi beberapa aspek sokongan yang lain seperti kemudahan infrastruktur dan pertanian termasuklah penanaman padi lima kali dua tahun serta eko pelancongan. 


Selain itu, strategi peningkatan kualiti hidup meletakkan peruntukan RM170 ribu kepada keluarga miskin bagi setiap DUN.


Peruntukan ini melambangkan pendekatan rentas parti dalam soal bantuan kepada golongan miskin yang memerlukan.


Ia tidak terikat dengan batasan parti sama ada DUN Kerajaan mahupun pembangkang. 


Malah, penerusan program Bantuan Beras Sejahtera dan Anakku Sejahtera di seluruh DUN Negeri Kedah menunjukkan pendekatan Kerajaan Negeri yang inklusif dalam menyediakan bantuan terus kepada rakyat di negeri ini.


Di sana terdapat beberapa syor yang boleh menjadi nilai tambah kepada perbahasan terhadap Bajet kali ini;


3. Tanggungjawab Fiskal 


Pertama, cadangan supaya Jawatan Kuasa Hasil Negeri yang ditubuhkan bagi merangka strategi kutipan hasil RM1 bilion menjelang tahun 2024 diperluaskan fungsinya menjadi sebuah Jawatan Kuasa Tanggungjawab Fiskal Negeri.


Jawatan Kuasa ini diberikan tanggungjawab meneliti keseluruhan pendapatan dan pengurusan perbelanjaan hasil negeri selain merangka pelan fiskal bagi jangka masa sederhana dan panjang.

 

Perkara ini bagi memastikan 'fiscal resilient' dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan domestik.


4. Inisiatif Bajet


Kedua, selaras dengan strategi penerimagunaan teknologi digital dan sistem perkhidmatan penyampaian dasar negeri, Kerajaan disarankan supaya menyediakan satu laman sesawang (dashboard) khususnya mengenai insiatif bajet yang ditawarkan.


Dashboard ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membangunkan dasar teknologi digital Kerajaan dan meningkatkan kecekapan tadbir urus. 


Selain itu, ia membantu rakyat memantau sistem perkhidmatan penyampaian Kerajaan serta mempraktikkan pendekatan 'leave no one behind'.


Pembangunan 'dashboard' khusus ini akan menjadikan Kerajaan lebih transparent dan sistem penyampaian dasar lebih cekap dan sistematik.


5. Cendekiawan CoK


Ketiga, gagasan Cordoba of Kedah (CoK) turut disebutkan dalam bajet kali ini yang menjadi teras utama dasar Kerajaan dalam aspek kualiti pendidikan.


Selain penerapan pembudayaan ilmu dalam masyarakat, sewajarnya juga disediakan satu garis bagaimana segitiga rantau CoK di antara UniSHAMS, UiTM Merbok dan UUM akan melahirkan seorang pakar teknokrat yang menguasai pelbagai bidang ilmu melalui pendidikan formal. 


Malah, Kerajaan juga disarankan meletakkan satu sasaran para cendekiawan yang bakal dilahirkan melalui pengajian formal tersebut. Ia akan lebih memaknai hala tuju CoK untuk dekad mendatang. 


6. Kesimpulan


Beberapa aspek utama diberikan penekanan dalam bajet kali ini. Meskipun tidak dinafikan pelbagai insiatif yang positif diteruskan Kerajaan Negeri, namun ia juga perlu diteliti kepada aspek kekuatan fiskal negeri. 


Peningkatan kutipan hasil yang berterusan selain pendekatan perbelanjaan berhemah, menentukan keutamaan serta tidak berlebih-lebihan akan memastikan kedudukan kewangan negeri sentiasa teguh berdepan cabaran luar.

Tiada ulasan