Header Ads

test

JANGAN SAMAKAN ISU CURI REE DENGAN SYARIKAT BERLESEN - MB


ALOR SETAR- Prospek Suria Sdn.Bhd mempunyai lesen eksplorasi yang sah untuk mengkaji potensi unsur nadir bumi (REE) namun belum dilakukan kerana masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

“Jadi jangan samakan yang ambil secara haram itu dengan MBI dan Prospek Suria,” kata Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor semasa menjawab soalan lisan ADUN Pengkalan Kundor berkaitan tuduhan pembabitan MBI dan Prospek Suria dalam kecurian REE di di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Menurut Muhammad Sanusi, tuduhan pembangkang yang menyatakan kerajaan negeri bersubahat dalam kecurian REE itu tidak berasas kerana plot tanah yang terlibat dalam kegiatan kecurian berbeza dengan kawasan yang diberi kebenaran eksplorasi REE.

Jelas beliau lagi, seorang lelaki warganegara China bersama seorang pemandu lori yang membawa muatan REE telah ditangkap dan direman pada 26 September 2022 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik.

Mengulas lebih lanjut, beliau memaklumkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) telah mengemukakan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya dan telah mendapat arahan izin kompaun di bawah seksyen 32(1), 47 (1). 50 (1). 81 (1) (d) dan 81 (1) (e) dengan jumlah kompaun RM130 ribu atas pencerobohan dan menjalankan aktiviti terlarang dalam Hutan Simpan Kekal.

Pejabat pengarah timbalan pendakwa raya turut mengenakan kompaun berjumlah RM500 ribu di bawah peruntukan Seksyen 4298 KTN (Akta 828) bagi kesalahan melombong REE tanpa kebenaran.
Kompaun tersebut telah dijelaskan pada 11 Oktober.

Tambah beliau, JPNK telah mengambil tindakan dengan menghentikan aktiviti pengambilan haram di kompartmen 12 hutan simpan dan memusnahkan peralatan yang digunakan dalam perlombongan itu.

Menteri Besar berkata, Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Kedah (PTG) dan Pejabat Daerah Sik akan meningkatkan pemantauan secara berkala di kawasan ini bagi mengelakkan perkara itu berulang.


 

Tiada ulasan