Header Ads

test

KERAJAAN USAHA BERIKAN HAK MILIK TANAH KEPADA KAMPUNG DIDUDUKI LEBIH 30 TAHUN


ALOR SETAR – Pemberian surat hak milik tanah merupakan langkah awal bagi menyelesaikan isu rumah yang dibina di atas tanah milik Jabatan Perhutanan sejak puluhan tahun.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata demikian dalam Sidang Bajet 2023 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurut beliau, pengarahan telah dibuat kepada Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Kedah (PTG) bagi mempercepatkan proses pemberian geran hak milik tanah.

“Kampung-kampung yang dah 30 tahun diduduki, kita nak cabut keluar daripada kawasan perhutanan dan bagi geran untuk tapak rumah saja, tapak kebun perlu mohon permit penggunaan kepada Jabatan Perhutanan.

“Nak ‘cabut’ keluar tanah daripada Jabatan Perhutanan, perlu kena ada ganti, ini keputusan Majlis Tanah Negara,” jelas Sanusi.

Pertanyaan berkaitan tanah pusaka yang tertunggak lama pula, Muhammad Sanusi berkata hal itu di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan yang diselia oleh bahagian pembahagian pusaka.

Bagi menyelesaikan kes tertunggak itu, beliau berkata Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah menambah baik Sistem Pengurusan Tanah Persekutuan dan Pembahagian Pusaka (MyeTaPP) serta memohon lantikan 100 kakitangan secara kontrak daripada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Jumlah permohonan dan kelulusan tanah bermula tahun 2015 hingga September 2022 menurut Muhammad Sanusi mencatatkan jumlah keseluruhan tanah yang diluluskan adalah 9106 tanah daripada 10937 permohonan yang diterima bagi tahun terbabit.


Tiada ulasan