SULTAN KEDAH SERU BUDAYAKAN SUNNAH RASULULLAH SAW
ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru kepada semua lapisan masyarakat agar menghayati sirah kelahiran baginda Nabi Muhammad SAW dengan membudayakan sunnah-sunnah baginda di dalam kehidupan seharian.
Titah baginda, mengamalkan sunnah akan mendatangkan kelapangan dalam hidup kerana sunnah bersifat komprehensif, memiliki keseimbangan dan bersifat realiti dengan meraikan segala yang berkaitan seperti keperluan serta keinginan manusia.
“Sesungguhnya, setiap amalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah releven pada setiap zaman dan keadaan.
“Demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan negeri Kedah berterusan sepanjang masa, beta berhasrat agar kita menghayati setiap pengajaran dan iktibar dari kehidupan Rasulullah SAW serta berusaha sedaya upaya mengamalkan tingkah laku dan akhlak baginda,” titah baginda merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul, Peringkat Negeri Kedah tahun 1444 Hijrah di Hotel Raia, di sini, hari ini.
Sultan Sallehuddin bertitah, seruan baginda itu agar semua uswah dan qudwah baginda yang sangat mulia ini menjadi amalan dalam hidup semua rakyat di masa hadapan.
Titah baginda lagi, tema Maulidur Rasul pada tahun ini ialah ‘Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran’ yang merumuskan perlu kerjasama seluruh rakyat dalam menghadapi segala krisis dan menyemai pengkayaan nilai dalam diri setiap individu.
“Konsep ‘Keluarga Malaysia’ dianggap, sebagai satu simbol kebersamaan yang inklusif, dalam menghadapi krisis akibat daripada pandemik COVID-19.
“Konsep tersebut jelas menunjukkan kepentingan institusi keluarga dalam menghadapi situasi yang mencabar.
“Tiga teras utama yang digariskan iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dijadikan nilai dalam konsep Keluarga Malaysia,” titah baginda lagi.
Post a Comment